Topik diikuti
Pergi ke BHkuRaikan Ilmu 2026 diperluas ke 11 lokasi kejiranan
Raikan Ilmu 2026 diperluas ke 11 lokasi kejiranan
Berlangsung selama 4 bulan dari Jul hingga Okt berbanding sebulan sejak ia diperkenal
Raikan Ilmu 2026 diperluas ke 11 lokasi kejiranan
Buat julung kalinya, acara Raikan Ilmu anjuran Yayasan Mendaki akan diperluaskan ke 11 lokasi kejiranan di seluruh Singapura bagi memastikan lebih ramai dapat mengalami pembelajaran di kawasan perumahan mereka.
Ini termasuk Tampines, Jurong, Pasir Ris, Jalan Kayu, Kampong Glam, Toa Payoh, Nee Soon, Geylang, Woodlands, Marsiling dan Punggol.
Dinamakan Raikan Ilmu@Heartlands, acara itu yang meraikan ilmu pengetahuan dan pembelajaran sepanjang hayat, juga buat pertama kali akan berlangsung selama empat bulan, dari Julai hingga Oktober.
Ini berbanding hanya sebulan sebelum ini sejak ia diperkenalkan pada 2002.
Mengumumkan demikian semasa sidang media Raikan Ilmu 2026 di Wisma Mendaki pada 30 Mei, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, berkata acara itu dianjurkan di lebih banyak kawasan berbanding hanya tiga kejiranan pada 2025 ekoran permintaan masyarakat.
“Sebagai sebuah pertubuhan berteraskan data, Mendaki mendapati terdapat permintaan konsisten sebelum ini untuk mengadakan pesta Raikan Ilmu ke setiap kawasan kejiranan.
“Kesemua 11 lokasi tersebut dipilih khusus berdasarkan taburan geografinya, bagi memastikan lebih ramai berpeluang merasai pengalaman pembelajaran di kawasan rumah atau kejiranan masing-masing.
“Matlamat utamanya adalah untuk memastikan masyarakat rasa pembelajaran sentiasa dalam jangkauan mereka,” jelas Encik Feroz.
Raikan Ilmu 2026 akan dilancarkan secara rasmi di Our Tampines Hub pada 13 Jun sebelum diadakan di lokasi kejiranan lain mulai Julai menerusi kerjasama dengan bandar M Kuasa Tiga (M³), pertubuhan Melayu/Islam, serta pihak berkepentingan.
Menjelaskan sebab sambutan Raikan Ilmu 2026 dilanjutkan melebihi tempoh sebulan, Timbalan CEO Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kebolehcapaian serta memperluas jangkauan masyarakat.
“Dengan itu, kami dapat mendekati lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam, serta masyarakat umum, untuk memahami dengan lebih mendalam erti pembelajaran.
“Ini lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin kompleks, dengan pembelajaran perlu menjadi amalan berterusan serta sebahagian daripada kehidupan dan interaksi harian dalam keluarga,” terang Dr Noraslinda, yang juga pengerusi Raikan Ilmu 2026.
Sejak 2019, Raikan Ilmu disambut selama sebulan pada Oktober manakala sejak 2023 pula, ia disambut selama sebulan pada Julai.
Menurut Encik Feroz, acara itu akan menyaksikan kerjasama Mendaki dengan lebih 90 rakan kongsi korporat, masyarakat dan nasional – meningkat sekitar 30 rakan kongsi berbanding edisi 2025.
Tambahnya, ia akan menampilkan lebih 100 kegiatan menarik termasuk cabaran bola sepak robotik interaktif, kegiatan pengukuhan hubungan keluarga, serta bengkel penerokaan kerjaya.
Setiap Raikan Ilmu@Heartlands akan menampilkan kegiatan dan bengkel yang disusun mengikut empat zon bertema sejajar dengan Pelan Kerja Mendaki 2030, bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.
Empat zon tersebut ialah ‘Pembelajar Yakin’, ‘Keluarga Lebih Kukuh’, ‘Tenaga Kerja Bersedia Masa Depan’ dan ‘Masyarakat Sejahtera’.
Kegiatan tersebut bakal dikendalikan oleh rakan kongsi seperti PPIS; Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC); Politeknik Ngee Ann; perunding pendidikan, VM Education; dan perunding pendidikan, EDN Learning Discoveries.
Selain sambutan di 11 kawasan kejiranan, Raikan Ilmu 2026 akan menampilkan empat acara utama yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands dari 9 hingga 11 Julai.
Ini termasuk Simposium Mendaki pada 9 Julai yang akan menghimpunkan ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal industri untuk berkongsi idea, serta bertukar pandangan tentang masa depan berkenaan pembelajaran dan peranan teknologi.
Sementara itu, pada 10 Julai, acara #MakingConnections pula bertujuan menyediakan wadah bagi para karyawan membina rangkaian serta membangunkan dan menerajui program yang meninggalkan kesan sosial.
Pada 11 Julai, acara YOUth@M³+ memberi peluang kepada golongan belia dan pelajar pengajian tinggi untuk membina rangkaian dengan para karyawan daripada pelbagai industri.
Pada 11 Julai juga, acara Wacana Kita, yang dahulu dikenali sebagai Persidangan Masyarakat Gemilang, menggalak pemimpin belia dan masyarakat bertukar pandangan dan membina persefahaman untuk membentuk masyarakat yang berkembang maju.
Sekilas lokasi dan tarikh sambutan Raikan Ilmu@Heartlands 2026
– 18 dan 19 Julai: Jurong
– 25 dan 26 Julai: Pasir Ris
– 15 dan 16 Julai: Jalan Kayu
– 23 Ogos: Kampong Glam
– 30 Ogos: Toa Payoh
– 5 dan 6 September: Nee Soon
– 12 dan 13 September: Geylang
– 19 dan 20 September: Woodlands
– 26 dan 27 September: Marsiling
– 3 dan 4 Oktober: Punggol
