Usianya baru 18 tahun, tetapi itu tidak menghalang tukang gunting rambut, Muhammad Aqil Syukri Muhammad Faizal untuk menjalankan perniagaan di flat HDB dengan khidmat gunting rambut bagi kaum Adam.
Semuanya bermula secara tidak sengaja apabila beliau cuba membetulkan rambut rakannya yang telah ‘dirosakkan’ oleh seorang lagi rakan yang cuba untuk memotongnya sekitar 2024.
“Rambut kawan saya sudah disalah potong oleh seorang lagi kawan lain,” cerita Aqil sambil ketawa kecil.
“Bila saya cuba tolong betulkan, tak sangka hasilnya jadi elok. Dari situ, saya sedar saya mungkin ada bakat.”
Sejak insiden itu, kira-kira sebelum bulan puasa tahun lalu ketika berumur 17 tahun, Aqil mula mendalami seni menggunting rambut secara sendirian.
Untuk mengasah bakatnya, beliau banyak menonton video di YouTube dan belajar melalui memerhatikan tukang gunting kegemarannya di Malaysia, yang juga sering dikunjunginya untuk potongan rambut sendiri.
Bermula dengan potongan percuma untuk kawan-kawan sebagai latihan, Aqil yang juga seorang pelajar tahun kedua dalam jurusan kejuruteraan elektrik di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, kini mengenakan bayaran sebanyak $12 untuk setiap perkhidmatannya.
Kebetulan lagi, rumah keluarganya berada di tingkat satu, jadi Aqil dapat beroperasi di blok 322A Anchorvale Drive dengan persetujuan dan restu ibu bapanya.
“Waktu saya baru mula, ibu bapa saya tidak menghalang, dan cuma kata ‘buat je dulu’. Bila mereka nampak saya mula dapat duit dan berjumpa orang baru, mereka terus memberi sokongan,” kata Aqil anak ketiga dari lima beradik itu.
Kini, Aqil bukan sahaja menerima pelanggan sekitar umurnya, tetapi juga golongan lebih dewasa termasuk ‘pakcik-pakcik’.
Ramai pelanggannya terdiri daripada kawan-kawan, keluarga dan perniagaannya berkembang dari mulut ke mulut. Aqil juga menerima tempahan potongan rambut dari rumah ke rumah dan mengaku pelanggannya kini dari seluruh Singapura.
Beliau teruja apabila pelanggannya berpuas hati dengan khidmat yang diberikan.
“Bagi saya, ini bukan sekadar potong rambut. Saya dapat kenal orang baru, dengar cerita mereka, dan bina keyakinan diri. Ini memang sesuatu yang saya suka buat.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg