Topik diikuti
Pergi ke BHkuRLAF ikat kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Mesir salur bantuan kemanusiaan ke Gaza
RLAF ikat kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Mesir salur bantuan kemanusiaan ke Gaza
Zaqy: S’pura bincang hantar doktor, jururawat ke Mesir bantu pelarian Palestin
RLAF ikat kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Mesir salur bantuan kemanusiaan ke Gaza
Makanan panas dan air bersih, ubat-ubatan serta bekalan musim sejuk yang disumbangkan rakyat Singapura kepada warga Palestin di Gaza akan disalurkan dengan lebih tepat kepada golongan yang paling memerlukan melalui kerjasama baru antara Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Kedua-dua badan bukan pemerintah itu menandatangani surat persefahaman (LOU) pada 11 November, yang membolehkan RLAF, serta anggota rangkaian SG bagi Kemanusiaan (SG Humanity) lain, memastikan bantuan dari Singapura disalurkan secara lebih tepat kepada golongan paling memerlukan di lapangan, kata RLAF dalam kenyataannya pada 14 November.
Sementara itu, Singapura turut mengadakan perbincangan bagi memperluas bantuan perubatan untuk rakyat Palestin yang dipindahkan ke Mesir, termasuk menghantar pasukan sukarelawan perubatan yang terdiri daripada doktor dan jururawat dari Singapura.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkongsi perkembangan itu ketika bercakap kepada media tempatan bagi menggulung lawatan rasminya ke Arab Saudi dan Mesir.
“Satu perkara yang amat saya tekankan adalah sama ada kita dapat menghantar pasukan sukarelawan untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) kita.
“Saya rasa itu juga akan membawa perubahan besar, kerana selain yang dihantar sistem perubatan, hospital atau sistem kesihatan awam kita, saya tahu terdapat doktor yang ada kalanya turut menjadi sukarelawan menerusi pertubuhan lain.
“Namun, ramai doktor juga memberitahu saya bahawa mereka lebih suka jika ia merupakan misi yang diterajui Singapura, kerana mereka akan rasa lebih yakin dan selamat, memandangkan mereka tahu dengan siapa mereka bekerjasama serta saluran yang digunakan,” katanya.
Menurut Encik Zaqy, sebelum ini pasukan perubatan telah dihantar secara rasmi melalui saluran pemerintah Singapura seperti Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kesihatan (MOH).
Kini, Singapura turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Penduduk (MOHP) di Mesir untuk melaraskan protokol bagi meluaskan bantuan perubatan di sana, katanya.
Beliau menambah bantuan perubatan kekal penting memandangkan sekitar 150 pesakit dari Gaza tiba di Mesir setiap hari dan mendapatkan rawatan di sana.
Lantas, kerjasama erat SG bagi Kemanusiaan dengan rakan kongsi seperti ERC amat penting bagi mengatasi cabaran logistik dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Melalui rangkaian ini, Insya-Allah kita dapat membawa sukarelawan – doktor atau jururawat – yang ingin membantu ke sini (Mesir),” katanya.
Semasa lawatannya ke Mesir, Encik Zaqy telah meninjau Pusat Logistik ERC serta kawasan lintasan Rafah di Sinai Utara bagi memahami operasi dan cabaran penghantaran bantuan ke Gaza, selain melawat Hospital Palestin yang disokong di bawah Program Kemanusiaan Luar Negara Humanity Matters di Mesir.
Beliau juga menyaksikan pemeteraian LOU baru antara RLAF dengan ERC bagi memperkukuh usaha bantuan di Gaza, di samping penyerahan cek bernilai hampir $1 juta daripada Palang Merah Singapura (SRC) dan RLAF kepada ERC.
Sementara itu, kempen pengumpulan dana Aid for Gaza 2027 yang digerakkan di bawah LOU tersebut akan dilancarkan pada hujung 2026 – dengan tarikhnya bakal ditetapkan – bagi mengumpul sasaran sebanyak $1.5 juta.
Berlangsung selama enam bulan, kempen itu merangkumi bantuan semasa musim Ramadan dan Korban akan datang, sekali gus memperkukuh kerjasama RLAF dan ERC untuk merangka lebih banyak inisiatif kemanusiaan serta pemulihan buat penduduk Gaza dan rakyat Palestin yang dipindahkan ke Mesir, kata RLAF.
Dalam kenyataannya, RLAF menambah bantuan untuk keluarga dan anak-anak Palestin itu akan merangkumi bekalan makanan dan air bersih termasuk dapur masyarakat, hidangan panas bagi projek Ramadan serta daging dalam tin sedia dimakan untuk projek Korban.
Ia turut meliputi kelengkapan sanitasi dan kebersihan, kit musim sejuk serta tempat perlindungan, bekalan perubatan asas termasuk ubat-ubatan, di samping ruang pembelajaran sementara atau bergerak serta sokongan psikososial bagi mereka yang terjejas.
Turut bercakap kepada wartawan tempatan melalui dalam talian, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata keadaan di Gaza yang masih bergelora menimbulkan cabaran besar dari segi kemasukan bantuan kemanusiaan.
Menurutnya, jumlah lori bantuan yang dibenarkan masuk merosot daripada sekitar 300 hingga 400 buah sebelum ini kepada hanya kira-kira 50 lori sehari.
Sesuai dengan itu, RLAF dan ERC memperluaskan tumpuan bukan sahaja kepada penduduk di dalam Gaza, malah kepada keluarga yang dipindahkan ke kawasan sempadan Rafah dan Sinai Utara di Mesir, katanya.
“Apa yang paling penting ialah memastikan dana yang dikumpul ini diterjemahkan kepada bantuan yang terus sampai kepada penduduk di Gaza, serta rakyat Palestin yang dipindahkan ke Mesir,” ujar Encik Adnan.
Beliau menambah ini termasuk membekalkan keperluan perubatan mendesak bagi pesakit yang dipindahkan dari Rafah untuk menerima rawatan di Hospital El-Arish sebelum ditempatkan di pusat penginapan kendalian ERC.
Selain barangan asas, Encik Adnan turut menekankan kepentingan sokongan pendidikan dan psikososial bagi kanak-kanak yang mengalami trauma akibat konflik tersebut, berdasarkan tinjauannya ke pusat penginapan ERC baru-baru ini.
“Dengan adanya bantuan seperti ini, kita dapat menyasarkan dengan lebih tepat kepada mereka yang amat memerlukan – bukan sahaja untuk barangan asas, malah bagi keperluan lain yang juga mendesak pada ketika ini,” tambahnya.
LOU baru itu dibina atas perjanjian terdahulu antara RLAF dengan ERC yang dimeterai pada 24 Jun 2026.
Di bawah perjanjian itu, RLAF telah menyumbang lebih $754,000 bagi bantuan segera untuk menyokong kanak-kanak dan keluarga di Gaza, serta kanak-kanak dan keluarga yang dipindahkan ke Mesir.
Ketika itu, bantuan tersebut merangkumi makanan, air, barangan bukan makanan serta sokongan kesihatan.