Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sahabat yang selalu ada, tapi jarang dihargai

May 23, 2025 | 6:26 PM
Jangan ambil ringan persahabatan yang ikhlas. Bila ia pergi, tak mudah dicari ganti.
Jangan ambil ringan persahabatan yang ikhlas. Bila ia pergi, tak mudah dicari ganti. - Foto fail

Mengapa begitu mudah bagi manusia melupakan nilai sesuatu yang dimiliki? 

Mengapa hanya selepas kehilangannya, barulah bibir mampu melafazkan kesyukuran dan hati yang dahulunya acuh tak acuh tiba-tiba dipenuhi 1,001 penyesalan? 

Mungkin ia bukan sekadar lupa. Ada kalanya, ia berpunca daripada sikap kita sendiri – keengganan untuk benar-benar melihat, mendengar dan menghargai apa yang berada di depan mata.

Dalam hal ini, tiada yang lebih mudah diambil ringan berbanding persahabatan.

Sahabat yang sentiasa ada ketika diperlukan – yang sudi mendengar luahan, yang menghantar mesej setiap kali kita diam terlalu lama, yang sentiasa ingat hari lahir walaupun kita sendiri sering lupa – seringkali dianggap biasa. Kita fikir mereka akan sentiasa ada.

Kita jarang menghargai sahabat yang menunggu kita selesai dengan urusan sendiri. Sahabat yang memaafkan walau sering dipinggirkan. Sahabat yang tidak berkira, walaupun kita sering terlupa untuk membalas mesej atau bertanya khabar.

Semuanya dianggap ‘nanti boleh’, ‘dia faham’, ‘tak penting pun’.

Kita lupa – persahabatan juga perlukan usaha.

Disebabkan itu, penghargaan sering dilewatkan. Ucapan terima kasih tidak dilafazkan, pujian terasa janggal, perhatian dianggap tidak perlu. Kita terlalu yakin hubungan itu kukuh — sehingga pada suatu hari, mesej tidak lagi dibalas, dan kehadiran yang dahulu terasa biasa, mula hilang perlahan-lahan.

Ramai hanya mula menghargai setelah sahabat menjauh.

Apabila tidak lagi ada yang bertanya, “kau okay ke?”

Apabila kita sendiri sedang jatuh – barulah terasa sunyi kerana orang yang dahulunya kita pinggirkan itu, sudah tidak lagi di sisi.

Saat itulah, kenangan lama mula dicari. Mesej lama dibaca semula. Gambar bersama disimpan dengan perasaan bersalah.

Dan kita mula menyesal.

Hakikatnya, kita jarang menghargai ketika sesuatu masih wujud. Tetapi apabila ia sudah tiada, kita menjadi pujangga, meratapi kehilangan yang tidak kita jaga.

Barulah kita sedar — nilai yang pernah kita anggap biasa, rupa-rupanya sangat besar.

Ironinya, manusia pandai sangat berduka, tetapi malas menghargai dan sering menyalahkan masa.

“Esok aku akan mesej dia.”

“Esok aku akan ajak dia keluar minum.”

“Esok aku akan minta maaf.”

Tapi ‘esok’ tidak pernah pasti.

Hari ini mungkin peluang terakhir kita untuk menghargai kehadiran seorang sahabat. Dan jika kita terus menangguhkan, mungkin yang akan tinggal hanya ruang kosong dan penyesalan.

Apabila hubungan itu telah renggang, atau sahabat itu telah memilih untuk menjauh, apa yang paling menyakitkan bukanlah kehilangannya – tetapi kesedaran bahawa kita berpeluang untuk menghargai… tetapi tidak melakukannya.. 

Jangan tunggu sehingga sahabat lama menjadi kenangan. Jangan tunggu sehingga hanya gambar dan mesej silam menjadi tempat kita berlindung daripada rasa bersalah.
Hargailah mereka hari ini — bukan esok. Kerana sahabat yang benar tidak muncul setiap hari. Dan yang sudah pergi, tidak semudah itu kembali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg