Sejak menjejakkan kaki di pejabat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), di Paris, Perancis, pada September 2025 bagi menjalani program latihan Biasiswa Presiden, Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, bertindak sebagai ‘penghubung’ unik antara dua dunia dalam menangani perubahan iklim.

Beliau ditugaskan menyepadukan sistem pengetahuan masyarakat peribumi mengenai alam sekitar ke dalam dasar iklim sejagat.

Di atas kertas, tugasan itu kelihatan jauh daripada bidang kepakarannya.

Jejaka berusia 25 tahun itu berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dan ijazah Sarjana Sains Komputer dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Namun, bagi Encik Dhafer, cabaran itu bak satu suntikan motivasi untuknya mencapai kecemerlangan.

Tujuannya bagi menimba sebanyak ilmu dan pengalaman yang boleh agar dapat mencurah bakti di Singapura dengan lebih menyeluruh.

Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, merupakan siswazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat.
Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, merupakan siswazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Ekonomi dari Universiti Stanford, Amerika Syarikat. - Foto ihsan DHAFER FAISHAL

Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Encik Dhafer berkongsi beliau akan menamatkan program latihannya pada September 2026, sebelum pulang ke Singapura untuk menabur bakti dalam sektor perkhidmatan awam.

Menjelaskan sebab beliau menceburi pelbagai bidang pengajian, Encik Dhafer, anak bongsu dua beradik itu berkata banyak tugasan dalam penggubalan dasar melibatkan pekerjaan pelbagai disiplin.

Lantaran itu, beliau mendambakan pendedahan meluas sebagai kunci pembangunan.

“Bidang yang saya pilih sangat khusus kerana saya menganggapnya sebagai jurusan yang sedang atau bakal menjadi sangat penting.

“Sebagai contoh, sains komputer berkait rapat dengan revolusi kecerdasan buatan (AI), manakala ekonomi pula merupakan tunjang utama dalam pembentukan dasar,” katanya sambil menambah, isu perubahan iklim juga satu cabaran kontemporari yang besar.

Berkongsi pengalamannya di Unesco, Encik Dhafer berkata tempoh awal pekerjaan bukanlah mudah, memandangkan beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut sebelum ini.

Namun, beliau perlu rajin membaca dan bertanya demi menyelami konteks tugasan.

Encik Dhafer, yang meluangkan hingga tiga jam setiap hari hanya untuk membaca, berkata:

“Pada awal saya mula bertugas, saya perlu memahami dengan cepat projek terdahulu, dokumen dasar, dan penerbitan daripada jabatan tersebut.

“Saya boleh katakan dalam tiga minggu pertama, saya meluangkan masa sekitar dua hingga tiga jam setiap hari untuk membaca bahan-bahan tersebut!”

Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, di pejabat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Paris, Perancis.
Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, di pejabat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Paris, Perancis. - Foto ihsan DHAFER FAISHAL

Ini bukanlah kali pertama Encik Dhafer berada dalam keadaan atau persekitaran yang asing.

Beliau juga pernah menjalani latihan amali di Smart Nation pada 2022, Bank Dunia di Washington D.C pada 2023, dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi New York City, pada 2024.

Ketika di Bank Dunia, beliau baru sahaja memulakan pengajiannya di dalam bidang Ekonomi, dan menyedari tugasan tersebut agak mencabar di luar kepakarannya.

Bagaimanapun, sifat ingin tahu yang tinggi membolehkan beliau merumuskan data untuk papan pemuka dasar pendidikan sejagat yang mendapat pujian majikannya.

“Saya ketepikan rasa sangsi terhadap kemampuan atau kekurangan ilmu dalam bidang tersebut, dan sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugasan yang diberikan.

“Sifat ingin tahu yang tinggi mendorong saya untuk memberikan hasil kerja yang terbaik sepanjang tempoh latihan amali itu, dan pengalaman tersebut menjadi pembakar semangat untuk saya terus meneroka peluang baharu yang lain,” ujarnya.

Sebagai penerima Biasiswa Presiden 2019, Encik Dhafer mencipta sejarah menjadi anak Melayu ketiga yang menerima biasiswa berprestij itu, yang diberikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) setiap tahun.

Penerima Melayu sebelum ini ialah Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee, yang menerima biasiswa itu pada 2012; dan Encik Mohamed Ismail Ibrahim, yang meraihnya pada 1968.

Pada tahun yang sama, Encik Dhafer turut meraih Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang dan juga Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian (BH).

Ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi.

Minat pada dasar dan khidmat pada masyarakat secara tidak langsung diwarisi daripada ayahnya, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau mengakui pengaruh ayahnya sangat besar, terutama dalam menekankan kepentingan niat dalam setiap bidang yang diceburi.

“Ayah saya selalu pesan supaya berfikir dengan jelas tentang niat di sebalik sesuatu tindakan, iaitu apa yang diusahakan mestilah demi membantu orang ramai melalui rekaan dasar yang berkesan,” kata Encik Dhafer.

Minatnya terhadap isu semasa dipupuk sejak kecil melalui budaya membaca surat khabar setiap hujung minggu bersama ibu ayah dan kakaknya, serta minatnya pada subjek Ilmu Alam dan aktiviti debat.

“Sejak kecil, saya memang minat topik mengenai dunia.

“Saya masih ingat buku pertama yang dimiliki adalah sebuah atlas pemberian ibu bapa saya; dan saya akan membacanya setiap masa!” kongsinya sambil berseloroh.

Antara kegiatan keluarga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), suatu ketika dahulu adalah membaca surat khabar setiap hujung minggu bersama. Ia sekali gus memupuk minat Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal (dua dari kiri), untuk meminati hal ehwal semasa. Turut berada dalam gambar ialah isteri Dr Faishal, Cik Hayati Haron (kanan), dan anak perempuan mereka, Dr Naqea Nabilah Muhammad Faishal.
Antara kegiatan keluarga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kanan), suatu ketika dahulu adalah membaca surat khabar setiap hujung minggu bersama. Ia sekali gus memupuk minat Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal (dua dari kiri), untuk meminati hal ehwal semasa. Turut berada dalam gambar ialah isteri Dr Faishal, Cik Hayati Haron (kanan), dan anak perempuan mereka, Dr Naqea Nabilah Muhammad Faishal. - Foto fail

Petah berkata-kata dan yakin dalam perkongsiannya, sifat kepimpinan jelas menyerlah ketika ditemu ramah BH.

Sejak kecil, Encik Dhafer merupakan pelajar cemerlang serta rajin melakukan kerja sukarelawan.

Bekas pelajar Institusi Raffles (RI) itu pernah menjadi sukarelawan di Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pertapis dengan menjadi tutor bagi subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Selain itu, beliau juga sudah berkecimpung dalam kegiatan melibatkan perdebatan sejak sekolah rendah.

Beliau dan seorang rakan sepasukannya yang berasal dari Amerika Syarikat di Universiti Stanford, Encik Sajid Farook, berjaya melayakkan diri ke pusingan 48 terbaik di Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) 2025 di Panama.

Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal (kiri), bersama rakan sepasukannya yang berasal dari Amerika Syarikat di Universiti Stanford, Encik Sajid Farook, di Kejohanan Debat Universiti Amerika Utara pada 2025.
Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal (kiri), bersama rakan sepasukannya yang berasal dari Amerika Syarikat di Universiti Stanford, Encik Sajid Farook, di Kejohanan Debat Universiti Amerika Utara pada 2025. - Foto ihsan DHAFER FAISHAL

Kini, dengan pengalaman yang ditimba, Encik Dhafer berharap dapat mencurahkannya kepada negara, terutama kepada masyarakat Melayu/Islam di sini.

Lantaran itu, antara impian beliau adalah untuk melihat masyarakat bersedia mengharungi cabaran masa depan, serta mengasah kemahiran agar dapat membantu satu sama lain.

“Persediaan menghadapi cabaran masa depan ialah sesuatu yang sangat penting, terutamanya apabila melibatkan perubahan yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, serta ketidaktentuan ekonomi.

“Kita perlu berdaya tahan dan tangkas mempelajari kemahiran baharu di samping mampu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” ujarnya.