Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaktiandi: AI boleh hasilkan teks, tetapi hanya manusia mampu suntik ‘jiwa’ dalam sastera
Masa depan sastera Melayu perlu difikirkan, khususnya cara memastikan sastera terus berkembang dan dekat dengan generasi muda
Dalam dunia pesat berkembang di mana kecerdasan buatan (AI) semakin mempengaruhi kehidupan harian, sastera menjadi semakin penting, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.
Sastera bukan sekadar susunan kata yang indah, malah memberi ruang yang penting bagi individu berhenti sejenak dan berfikir secara kritis, tambah beliau.
“Ia membolehkan kita menyampaikan pandangan, memahami pengalaman orang lain, mempersoalkan sesuatu yang dianggap biasa dan merakam kehidupan masyarakat pada sesuatu zaman.
“Yang paling penting sekali, saya rasa perbezaan manusia dengan AI adalah bagaimana kita memberi konteks kehidupan.
“Berbeza dengan apa yang dihasilkan AI, manusia boleh memberi konteks kehidupan dan saya rasa bahasa Melayu dan juga sastera dapat memberikan itu (konteks kehidupan),” kata beliau.
Encik Saktiandi berkata demikian ketika berucap di acara Wacana Sastera 2026 anjuran Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS’50) pada 6 September di Wisma Geylang Serai.
Acara tersebut menghimpunkan sekitar 60 pakar bahasa, sasterawan, pendidik dan penulis mapan tempatan dan dari rantau ini, dengan ceramah bertajuk ‘Peranan Puisi dalam Membina Masyarakat yang Bijak dan Berintegriti’ dan forum bertajuk ‘Arah Tuju Penulisan Puisi’ diadakan.
Puisi khususnya, kata Encik Saktiandi, mempunyai keistimewaan tersendiri dalam beberapa baris sahaja.
Beliau berkata bahawa puisi mampu membawa persoalan yang jauh lebih besar tentang kehidupan, kemanusiaan, keadilan, identiti dan nilai yang ditampilkan, sambil menambah bahawa beliau melihat kaitannya dengan usaha membina masyarakat yang bijak dan berintegriti.
“Masyarakat yang bijak bukan sahaja masyarakat yang mempunyai banyak maklumat. Kebijaksanaan juga memerlukan kita menilai maklumat dengan baik, memahami sudut pandangan orang lain dan berfikir secara kritis.
“Begitu juga dengan integriti. Ia bukan sekadar mengetahui apa yang betul tetapi mempunyai keberanian dan prinsip untuk mempertahankan nilai tersebut.
“Jadi, sastera dan puisi boleh membantu membentuk kepekaan ini,” kata beliau.
Namun, pada masa yang sama, Encik Saktiandi berkata masa depan sastera Melayu perlu difikirkan juga, khususnya cara memastikan sastera terus berkembang dan dekat dengan generasi muda.
Generasi hari ini membaca dan berkarya melalui pelbagai wadah – daripada buku, pentas hingga ke media sosial dan ruang digital media – tetapi jiwa sebuah karya, kejujuran pemikiran dan nilai kemanusiaannya mesti terus dipertahankan.
Walaupun teknologi semakin mampu menghasilkan teks dalam masa beberapa saat sahaja, Encik Saktiandi berkata teknologi tiada unsur manusia dan hanya manusia sahaja yang boleh “memberikan kata-kata itu pengalaman, nurani dan makna”.
“Justeru, cabaran kita bukan sekadar memastikan puisi Melayu terus ditulis.
“Cabaran yang lebih besar adalah memastikan puisi terus dibaca, dibincangkan dan dirasakan relevan oleh generasi seterusnya,” kata beliau.
