Ketika Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria membesar, beliau jarang melihat arwah ibunya berpuas hati dengan penulisan yang dihasilkannya.
Walaupun Cik Aisyah sering mendapat markah cemerlang dalam peperiksaan khususnya karangan, ada sahaja kekurangan yang akan disentuh ibunya, Allahyarhamha Cik Noor Hasnah Adam, bekas guru dan penulis mapan di Singapura.
Cik Aisyah kerap membaca dan menelaah hasil karya ibunya yang sekali gus menjadi pencetus minatnya dalam sastera Melayu.
Sayangnya, pada detik keemasan Cik Aisyah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025 pada 7 November di Hotel Four Seasons, ibunya yang sentiasa menjadi sumber inspirasi tidak dapat meraikan pencapaiannya.
Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, merupakan tetamu terhormat majlis itu.
Anugerah Jauhari Harapan bertujuan mengiktiraf individu berusia 30 tahun dan ke bawah, yang mempunyai semangat kental dalam mencapai kejayaan dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Cik Noor Hasnah menghembuskan nafas terakhirnya pada Disember 2023, akibat ketumbuhan otak selepas menghidap penyakit itu sejak 2021 – tahun mencabar tatkala ibu dan ayahnya dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) serentak.
Bapanya, Encik Mohamed Satria Rasudi, 57 tahun, diserang penyakit angin ahmar ketika itu. Beliau kini lumpuh dan tidak boleh bercakap.
Dalam sekelip mata, pada usia 24 tahun, Cik Aisyah menjadi ‘kakak, ibu, dan ayah’ bagi tiga adiknya yang kini berusia antara 21 dengan 27 tahun, sambil bekerja sambilan sebagai pembimbing tuisyen.
Ini di samping melaksanakan peperiksaan penggal pertama tahun terakhirnya di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam Pengajian Global dan Pengajian Melayu.
Sungguhpun banyak beban yang perlu dipikul sejak umurnya masih muda, kematangan dan daya tahan anak sulung empat beradik itu jelas menyerlah.
Cik Aisyah lulus dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama (Kecemerlangan Tertinggi) dan menerima Anugerah Gemilang Mendaki dan Anugerah Cemerlang Mendaki serta Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin, yang diperkenalkan pada 2019.
Hadiah Rakyat Global Batul Izzuddin diberikan bagi mengiktiraf pelajar Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan (FASS) di NUS, yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, bahkan menyumbang kepada masyarakat.
Bak peribahasa, ‘Ke mana tumpah kuah, kalau tak ke nasi?’, Cik Aisyah mewarisi bakat ibunya dan kini meneruskan api perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Didikannya itu kini menjadi penerus kepada dakwat penulisan Cik Aisyah.
“Alhamdulillah disebabkan betapa ‘garangnya’ arwah ibu dalam karya penulisannya, maka saya terus cuba menulis dengan lebih baik dan kritis lagi,” katanya.
Kini pada usia 28 tahun, beliau merupakan pengasas bersama kolektif sastera belia Singapura, Meja Conteng, dan penasihat kelab peminat puisi remaja, Rumah Rima.
Menyingkap kenangan beliau bersama ibunya, Cik Aisyah menambah Cik Noor Hasnah sering menekankan kepadanya agar ‘mesej’ yang ingin disampaikan melalui karyanya itu jelas.
Kata-kata itu terus dipegang oleh Cik Aisyah hingga ke hari ini.
Menerusi Meja Conteng, beliau berhasrat menyediakan wadah yang membolehkan golongan penulis menyampaikan mesej tersebut dan memastikan ia berkekalan agar generasi akan datang dapat mengambil iktibar daripadanya.
Meraih inspirasi daripada Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ’50) yang menjadi wadah sastera untuk masyarakat, Cik Aisyah berkata:
“Saya lihat terdapat kekurangan wadah untuk penulis muda Melayu dan saya ingin mewujudkan ruang selamat dan kolaboratif untuk kreativiti dalam kalangan penulis muda.
“Untuk Meja Conteng, saya bercita-cita untuk melakukan sesuatu yang serupa, malah, bagi penulis kami sekarang, kita hidup dalam dunia digital dan masyarakat yang lebih sejagat.
“Saya ingin penulis kita mendokumentasikan cerita-cerita yang kita lihat hari ini agar pada masa depan, penulis akan datang dapat lihat kembali dan memahami ada sekumpulan penulis yang mengambil berat tentang masyarakat mereka, isu-isu yang dihadapi, bukan sahaja di Singapura, bahkan juga di seluruh dunia.”
Cik Aisyah menubuhkan Meja Conteng bersama dua lagi temannya, Encik Fadhli Fadzil dan Encik Hidayat Nordin pada 2024.
Beliau kini sedang mengikuti program Dwi Sarjana terbaru dalam Teknologi & Hal Ehwal Global di Sciences Po Paris, Perancis dan Universiti IE di Madrid, Sepanyol.
Terharu dengan pengiktirafan yang diterima sebagai ‘Jauhari Harapan’, Cik Aisyah, yang kini sedang menuntut di Paris, berkata:
“Saya benar-benar terkejut dan tidak menjangkakan pencalonan ini, apatah lagi untuk memenangi anugerah ini.
“Namun, saya amat berbesar hati kerana saya berada di tempat yang tidak pernah saya jejakkan kaki sebelum ini.
“Ia memberi saya motivasi untuk lakukan yang terbaik di sini (Paris) dan mempercayai masyarakat yang saya telah bina di Singapura.”
Kini, sembilan bulan sejak penubuhannya, Meja Conteng telah berkembang kepada 18 penulis muda dan menerbitkan sebuah ‘zine’, ‘O Live: Art Peace for Solidarity’, serta mendermakan keuntungan yang diraih kepada inisiatif biasiswa.
Cik Aisyah, yang menjadikan Ramlee Awang Murshid, Oki Madasari, dan Seno Gumira Ajidarma sebagai sumber inspirasi kerana mereka juga penulis, menganggap arwah ibunya sebagai pembakar semangatnya.
Menyifatkan ibunya sebagai seorang yang menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan secara tegas atau ‘tough love’, Cik Aisyah melihat kepadanya untuk mendapatkan kekuatan untuk mengatasi cabaran.
“Melihat beliau harungi cabarannya sendiri memberi saya keazaman untuk mengatasi cabaran saya.
“Ibu saya sememangnya orang yang paling kuat yang pernah saya kenal.
“Saya juga percaya segala yang beliau lakukan adalah teladan yang sangat baik untuk saya, dan doa beliau yang menguatkan saya, terutamanya ketika saya hadapi saat-saat sukar,” ujarnya sambil tersenyum.
Detik paling mencabar sudah semestinya apabila kedua ibu bapanya dimasukkan ke ICU pada 2021.
Cik Aisyah berkata rutin hariannya merangkumi kerja sambilan dan menjalani latihan amali, serta memulakan perjalanan dari rumahnya di Bukit Panjang ke Hospital Khoo Teck Puat, di Yishun sebelum ke NUS di Lower Kent Ridge.
“Sepanjang tempoh itu, saya terpaksa mengambil tanggungjawab sepenuhnya… saya perlu kerja dan sesuaikan diri dengan keadaan secara tiba-tiba.
“Namun, saya tahu saya perlu tunaikan tanggungjawab sebagai anak sulung,” katanya yang bekerja sambilan sebagai tutor dan penulis bebas, untuk menampung dirinya dan adik-adiknya.
Beliau hampir berhenti sekolah akibat tanggungjawab berat yang dipikulnya.
Namun, menerusi sokongan emosi daripada keluarga ibunya dan suaminya – yang ketika itu teman lelakinya – Encik Amir Azhar Azizan, Cik Aisyah bangkit dan tidak mensia-siakan peluangnya.
Beliau sering mengingatkan dirinya mengenai keadaan sebelum memasuki NUS, di mana permohonannya untuk ke universiti tempatan mahupun luar negara telah ditolak 33 kali sepanjang tempoh dua setengah tahun disebabkan keputusan GCE Peringkat ‘A’ yang agak hambar.
Kini, Cik Aisyah terbang tinggi menuju kejayaan yang lebih besar di samping memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam sastera Melayu.
“Saya akan berasa sangat gembira jika terdapat kesinambungan dalam perkembangan sastera, khususnya sastera Melayu di Singapura,” ujarnya.
Memandang ke hadapan, Cik Aisyah berharap Meja Conteng dapat menjadi wadah bagi penulis muda tidak takut berkarya serta melebar sayap kepada rakan serantau.
“Walaupun mereka takut tak mampu tulis dengan bahasa yang indah, saya rasa lebih penting lagi adalah mereka rasa selamat untuk kongsi apa yang mereka fikirkan atau percaya mengenai masyarakat sekarang,” tambah beliau.
Penaja utama bagi acara Jauhari BH itu ialah OCBC dan penaja lain terdiri daripada, MES Group, Persatuan Bank Singapura (ABS), Call Lade Enterprises dan NETS.
Ia turut menyaksikan Panglima Divisyen Kesembilan (9 Div) dan Ketua Pegawai Infantri Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan, dinobat sebagai Jauhari Berita Harian 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg