Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat berbakti arwah ibu bapa dorong belia laksana korban

Jun 6, 2025 | 5:19 PM
Hasyma Begum Akbar Ali, korban
Cik Hasyma Begum Akbar Ali, 21 tahun, menunaikan ibadah korban pada 2025 dengan menggunakan $360 daripada duit simpanannya sebagai penghormatan kepada kededua ibu bapanya yang telah kembali ke rahmatullah ketika beliau masih remaja. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun hanya bergaji $12 sejam hasil kerja sambilan, Cik Hasyma Begum Akbar Ali, 21 tahun, tetap bertekad menunaikan ibadah korban pada 2025.

Dengan mengetepikan $360 daripada wang simpanannya, hajat itu akhirnya tercapai apabila beliau memilih untuk mengorbankan seekor kambing biri-biri yang akan diagihkan kepada penduduk Palestin.

Selain membantu mangsa krisis di Gaza, ibadah itu dilakukan sebagai satu penghormatan buat kededua ibu bapanya yang telah kembali ke rahmatullah ketika beliau masih remaja.

Lantas, pakej korban yang disertainya melalui syarikat QurbanNow SG turut dilakukan atas nama arwah ibu bapanya.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Hasyma, yang berpendapatan kira-kira $1,000 sebulan sebagai pembantu runcit sambilan, menceritakan keputusan itu dilakukan hasil nilai murni yang dipupuk arwah ibu bapanya sejak kecil.

“Sejak kecil, arwah ibu telah mengajar kami bahawa setiap amalan, walau sekecil mana pun, boleh membawa manfaat pada masa hadapan.

“Saya tergerak hati untuk berkongsi rezeki setelah melihat penderitaan yang dialami rakyat Palestin, dengan harapan arwah ibu bapa saya turut menerima ganjaran daripada ibadah ini.

“Disebabkan itu, saya tidak teragak-agak untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini (2025),” kata Cik Hasyma, yang kini tinggal bersama kakak tunggalnya.

Walaupun berdepan dengan cabaran kehilangan ibu bapa pada usia muda, beliau menganggap pengalaman itu sebagai pendorong untuk berdikari dan kekal berpegang kepada nilai yang telah diterapkan sejak kecil.

Beliau turut mengenang sifat dermawan ibunya yang sering menyediakan makanan untuk pekerja binaan dan memberikan sedekah kepada mereka yang memerlukan.

“Arwah ibu sering menempah daging dari pasar dan masak lebih supaya dapat mengagihkan hidangan beliau kepada orang lain.

“Beliau tak pernah berkira dan selalu mengingatkan kami untuk kekalkan niat yang bersih,” tambahnya.

Bagi memastikan ibadah korban itu dapat dilaksanakan, beliau mengakui perlu membuat beberapa pengorbanan peribadi – termasuk dari segi pemakanan dan gaya hidup – agar selaras dengan kemampuan kewangannya.

“Bukan mudah untuk keluarkan jumlah sebesar itu, tapi saya tahu wang boleh dicari semula.

“Namun, peluang untuk berkorban ini bukan sesuatu yang datang selalu,” kata beliau.

Dengan pengalaman ini, Cik Hasyma berharap agar lebih ramai golongan belia menyedari kepentingan ibadah korban dan menyertai amalan yang mulia ini.

“Ramai yang membelanjakan ratusan dolar untuk perkara yang tidak memberi manfaat jangka panjang.

“Bagi saya, melabur dalam ibadah adalah jauh lebih bermakna, terutamanya jika dilakukan dengan niat yang tulus,” ujar beliau.

“Sejak kecil, arwah ibu telah mengajar kami bahawa setiap amalan, walau sekecil mana pun, boleh membawa manfaat pada masa hadapan.  ... Bagi saya, melabur dalam ibadah adalah jauh lebih bermakna, terutamanya jika dilakukan dengan niat yang tulus.”
Cik Hasyma Begum Akbar Ali, pembantu runcit sambilan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg