Seni kitar semula bangkit suasana Raya di Cantonment Close

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seni kitar semula bangkit suasana Raya di Cantonment Close

Artis bebas guna barang terpakai untuk hasilkan ruang kenali budaya majmuk di S’pura
Mar 19, 2026 | 5:40 PM

Seni kitar semula bangkit suasana Raya di Cantonment Close

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Anitha Tamilmaran, artis bebas, kolong Blok 19 Cantonment Close, hiasan Hari Raya, berasaskan bahan kitar semula
Melalui sentuhan kreatif artis bebas dan penduduk di kawasan kejiranan GRC Tanjong Pagar, Cik Anitha Tamilmaran, kolong Blok 19, Cantonment Close kini kelihatan indah dengan hiasan Hari Raya berasaskan bahan kitar semula. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Menjelang Syawal, kolong Blok 19, Cantonment Close, diserikan dengan hiasan yang mencetus suasana Hari Raya.

Motif tradisional sempena Lebaran seperti ketupat, lampu pelita dan kubah kini menghiasi ruang yang awalnya kosong tetapi kini kelihatan meriah dengan makna Syawal yang mendalam tersemat bagi setiap hiasan yang dipaparkan.

Semua itu merupakan sentuhan kreativiti Cik Anitha Tamilmaran, 50 tahun, seorang artis bebas yang menetap di Blok 11 kawasan kejiranan tersebut.

Sebagai seorang penganut agama Hindu yang tidak mempunyai ramai kenalan Melayu di sekelilingnya, beliau mengambil inisiatif melakukan kajian sendiri bagi memastikan setiap ciri yang diketengahkan tepat dan menghormati makna sebenar Hari Raya.

Proses itu yang bermula sejak Februari, membuka ruang dan peluang baginya menghargai kepelbagaian budaya di Singapura, katanya.

“Saya tidak mempunyai jiran atau rakan Melayu, jadi saya perlu membuat kajian secara mendalam dalam talian sebelum menghasilkan hiasan ini.

“Saya mahu rekaan saya ini bukan sahaja menarik secara visual, bahkan juga mencerminkan kefahaman dan penghormatan terhadap budaya dan amalan Hari Raya,” katanya.

Lebih menarik, kesemua hiasan tersebut dihasilkan menggunakan bahan kitar semula yang dikutip dari kawasan pelongsor sampah di sekitar kejiranan itu.

Daripada kotak mesin basuh hingga rangka katil bayi, setiap bahan diberikan nafas baharu melalui kreativitinya.

Cik Anitha, yang berseloroh sambil menyifatkan pelongsor sampah di sekitar Cantonment Close itu sebagai “tempat membeli-belahnya”, berkata:

“Saya tidak pernah merancang sepenuhnya dari awal. Saya hanya kumpulkan bahan dahulu. Ideanya akan datang kemudian.

“Saya rasa sayang untuk dibuang begitu sahaja. Jadi saya cuba beri ‘nyawa’ baharu kepadanya, sambil mengingatkan orang ramai tentang kepentingan budaya kitar semula dan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Maka, selama hampir dua bulan, beliau dan suaminya, Encik SKV Tamilmaran, 57 tahun, yang merupakan seorang pengurus perancangan di syarikat rel, bekerja tanpa henti — malah ada kalanya hingga dinihari.

Selama hampir dua bulan, Cik Anitha Tamilmaran, dan suaminya, Encik SKV Tamilmaran, mencurahkan sepenuh jiwa dan tenaga sehingga dinihari untuk menghidupkan hiasan Hari Raya, termasuk sebuah tanglung setinggi kira-kira dua meter di Blok 19 Cantonment Close.
Selama hampir dua bulan, Cik Anitha Tamilmaran, dan suaminya, Encik SKV Tamilmaran, mencurahkan sepenuh jiwa dan tenaga sehingga dinihari untuk menghidupkan hiasan Hari Raya, termasuk sebuah tanglung setinggi kira-kira dua meter di Blok 19 Cantonment Close. - Foto ihsan ANITHA TAMILMARAN

“Ada hari kami bekerja sampai 3 atau 4 pagi. Bila sudah mula, susah untuk berhenti kerana setiap bahagian seperti satu penemuan baharu,” katanya.

Ini bukan kali pertama beliau menjalankan projek sebegini.

Sebelum ini, beliau turut menghiasi ruang di Blok 8, sempena Tahun Baru Cina, serta menghasilkan hiasan bagi Deepavali di Blok 12 dan sambutan Krismas di Blok 16 sebagai sebahagian usaha memperkenalkan pelbagai budaya kepada masyarakat setempat.

Usaha berskala besar sebegini memang memenatkan bagi pasangan itu apatah lagi sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya jatuh dalam tempoh yang begitu dekat.

Tanpa banyak masa ehat, Cik Anitha dan suaminya terpaksa mempercepatkan langkah dan beralih segera dari satu projek ke satu lagi projek seterusnya.

Namun, cabaran tersebut dipermudah dengan sokongan daripada Program Lively Places.

Rangkaian Penduduk (RN) Cantonment Towers menjadi tempat Cik Anitha Tamilmaran, mengembangkan karya seni berasaskan bahan kitar semula.
Rangkaian Penduduk (RN) Cantonment Towers menjadi tempat Cik Anitha Tamilmaran, mengembangkan karya seni berasaskan bahan kitar semula. - Foto ihsan ANITHA TAMILMARAN

Menurut Cik Anitha, dana yang diterima digunakan untuk membeli barangan seperti gam, gunting dan alat pemotong, sekali gus melancarkan proses penghasilan hiasan itu agar lebih kemas dan teratur.

Hiasan tersebut tidak diturunkan selepas musim perayaan, sebaliknya dikekalkan sepanjang tahun dengan tujuan berfungsi sebagai alat pembelajaran bagi pengunjung, terutama pelajar yang ingin meninjau ruang itu.

Usaha itu disambut baik oleh penduduk kawasan itu, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Tanjong Pagar, Encik Zulhaqem Zulkifli.

“Usaha menghias kolong blok mengikut tema Hari Raya ini amat dipuji kerana ia bukan sahaja menceriakan suasana, malah mencerminkan semangat Tanjong Pagar – kejiranan yang erat, budaya saling menghormati, dan kebersamaan hidup.

“Malah pada saya, ia menggalakkan keharmonian kaum dengan membuka ruang untuk kita memahami dan meraikan budaya satu sama lain. Saya berharap ia terus menjadi inspirasi kepada masyarakat lain,” kata beliau.

Seorang penduduk di kejiranan itu, Cik Norhayati Yussof, 33 tahun, yang bertugas sebagai barista, juga sependapat, lantas berkata:

“Ruang tersebut terasa begitu mesra penduduk, bagaikan mengalu-alukan kedatangan orang ramai.

“Ia meriah, bernyawa dan sarat dengan semangat perayaan. Terserlah setiap perincian hiasan yang diolah dengan penuh ketelitian dan keprihatinan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg