Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura mohon tambah kuota haji 2028
Zaqy: S’pura akan raih manfaat jika Saudi tambah kuota keseluruhan
S’pura mohon tambah kuota haji 2028
Singapura telah menyuarakan hasratnya kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk menambah kuota haji bagi musim 2028, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Sejak 2023, apabila kuota haji pasca pandemik Covid-19 dibuka sepenuhnya, Singapura telah diperuntuk kuota haji rasmi 900 tempat, termasuk bagi haji 2027.
Kuota haji tersebut ditentukan mengikut formula yang ditetapkan kerajaan Saudi, iaitu sekitar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam sesebuah negara. Kuota haji, yang ditetapkan demi tahun, juga bergantung pada keyakinan pihak berkuasa di Saudi untuk menampung aspek keselamatan jemaah semasa musim haji, kata Encik Zaqy.
“Singapura mendapat kuota yang melebihi jangkaan kerana kita mengendalikan proses Haji dengan baik, berkesan serta selamat,” kata beliau, sebelum menambah Singapura sentiasa berusaha meneroka peluang menambah peruntukan tersebut.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Encik Zaqy berkata rancangan pihak berkuasa di Saudi untuk terus membangun dan memperluas Tanah Suci sekali gus membuka peluang untuk menambah jumlah jemaah.
“Insya-Allah, jika mereka merasakan mampu menangani aspek keselamatan bagi semua jemaah dan sekiranya terdapat peningkatan kuota secara keseluruhan, kita juga akan mendapat manfaatnya,” kata beliau.
Menambah, Encik Zaqy berkata Singapura mempunyai rekod yang baik dalam membuat persiapan dan menjaga kebajikan para jemaahnya dan sentiasa berusaha memperkukuh kepercayaan dan kerjasama yang telah terjalin dengan pihak Saudi.
Satu aspek yang amat diambil berat Arab Saudi ialah keselamatan jutaan jemaah yang berhimpun, kata Encik Zaqy, yang menyusuli itu menukil kejadian pada 2024 apabila lebih 1,300 jemaah terkorban semasa musim Haji akibat cuaca panas yang melampau.
“Sudah tentu kita berharap untuk mendapatkan lebih banyak tempat Haji, namun dengan jutaan jemaah yang berkumpul dalam tempoh beberapa hari, kita memahami dan berkongsi keprihatinan Arab Saudi terhadap aspek keselamatan, termasuk keselamatan bagi jemaah Singapura. Keselamatan sentiasa diutamakan,” tambahnya.
Encik Zaqy berkata demikian semasa bertemu wartawan setempat secara dalam talian pada 13 November, yang bertujuan menggulung lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingg 14 November.
Di Saudi, beliau telah bertemu Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, antaranya untuk membincangkan persiapan bagi musim Haji 2027.
Dalam pada itu, Encik Zaqy turut menekankan usaha berterusan untuk menjadikan ibadah Haji lebih dimampui, termasuk penyediaan pakej berharga lebih berpatutan bagi musim Haji 2027 seperti pakej singkat 18 hari khusus buat penjaga atau caregivers.
Di samping membantu jemaah memenuhi syarat kesihatan yang dipertingkatkan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) juga memberi keutamaan kepada pemohon warga emas berusia 70 tahun dan ke atas.