Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura perkukuh saluran bantuan untuk Gaza
Bincang hantar doktor, jururawat bantu warga Palestin di Mesir; RLAF perdalam kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir
S’pura perkukuh saluran bantuan untuk Gaza
Makanan panas dan air bersih, ubat-ubatan serta bekalan musim sejuk yang disumbangkan rakyat Singapura untuk Gaza akan disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang paling memerlukan melalui kerjasama yang diperdalam antara Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
Singapura juga sedang berbincang untuk memperluas sokongan perubatan untuk rakyat Palestin yang dipindahkan ke Mesir, termasuk menghantar doktor dan jururawat ke sana, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Menurut Encik Zaqy, Singapura telah menyumbang lebih $25 juta dalam bantuan kemanusiaan untuk Gaza sejak 2023. Pada masa yang sama, pertubuhan bukan pemerintah memberitahu beliau hanya sekitar 200 trak membawa bantuan memasuki Gaza setiap hari, walaupun ada perjanjian yang memperuntuk 600 trak berbuat demikian.
“Perkara yang paling bermakna ialah memastikan bantuan diterima keluarga yang paling memerlukannya,” kata Encik Zaqy, sambil menambah kerjasama dengan ERC boleh membantu mengatasi cabaran logistik dalam menyampaikan bantuan, dalam wawancara dengan wartawan setempat secara dalam talian dari Mesir untuk menggulung lawatannya ke Arab Saudi dan Mesir dari 8 hingga 14 November.
Semasa lawatannya ke Mesir, Encik Zaqy telah meninjau Pusat Logistik ERC serta kawasan lintasan Rafah di Sinai Utara bagi memahami operasi dan cabaran penghantaran bantuan ke Gaza, selain melawat Hospital Palestin yang disokong di bawah Program Kemanusiaan Luar Negara Humanity Matters di Mesir.
Selain bantuan makanan dan bekalan lain yang disalurkan kepada Gaza, bantuan perubatan juga penting kerana sekitar 150 pesakit dari Gaza tiba di Mesir setiap hari untuk mendapatkan rawatan, kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata sebelum ini pasukan perubatan telah dihantar secara rasmi melalui saluran pemerintah Singapura seperti Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kesihatan (MOH).
Kini, Singapura sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Penduduk (MOHP) di Mesir untuk melaraskan protokol bagi meluaskan bantuan perubatan di sana, ujar beliau.
Justeru, kerjasama erat SG bagi Kemanusiaan dengan rakan kongsi seperti ERC amat penting bagi mengatasi cabaran logistik dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, kata Encik Zaqy.
“Melalui rangkaian ini, Insya-Allah kita dapat membawa sukarelawan - doktor atau jururawat - yang ingin membantu ke sini (Mesir),” katanya.
RLAF dan ERC menandatangani surat persefahaman (LOU) pada 11 November, yang antara lain menyokong usaha RLAF, serta anggota rangkaian SG bagi Kemanusiaan lain dalam memberikan sokongan kemanusiaan kepada keluarga dan kanak-kanak Palestin di Gaza dan Mesir, kata RLAF dalam kenyataannya pada 14 November.
LOU baru itu menambah kepada perjanjian terdahulu antara RLAF dengan ERC pada 24 Jun 2026, apabila RLAF menyumbang lebih $754,000 untuk membantu warga Palestin di Gaza yang dipindahkan ke Mesir.
Di bawah LOU baru ini, RLAF akan melancarkan kempen Aid for Gaza 2027 pada hujung 2026 dengan sasaran mengumpulkan dana sekurang-kurangnya $1.5 juta.
Dana yang dikumpulkan menerusi kempen enam bulan itu antara lain akan digunakan untuk membiayai dapur masyarakat, kelengkapan sanitasi, kit musim sejuk serta tempat perlindungan.
Dalam pada itu, RLAF dan ERC kini memperluaskan tumpuan bukan sahaja kepada penduduk di dalam Gaza, malah kepada keluarga yang dipindahkan ke kawasan sempadan Rafah dan Sinai Utara di Mesir, katanya.
“Apa yang paling penting ialah memastikan dana yang dikumpul ini diterjemahkan kepada bantuan yang terus sampai kepada penduduk di Gaza, serta rakyat Palestin yang dipindahkan ke Mesir,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid.
Beliau menambah ini termasuk membekalkan keperluan perubatan mendesak bagi pesakit yang dipindahkan dari Rafah untuk menerima rawatan di Hospital El-Arish sebelum ditempatkan di pusat penginapan kendalian ERC.
Selain barangan asas, Encik Adnan turut menekankan kepentingan sokongan pendidikan dan psikososial bagi kanak-kanak yang mengalami trauma akibat konflik tersebut, berdasarkan tinjauannya ke pusat penginapan ERC baru-baru ini.
“Dengan adanya bantuan seperti ini, kita dapat menyasarkan dengan lebih tepat kepada mereka yang amat memerlukan – bukan sahaja untuk barangan asas, malah bagi keperluan lain yang juga mendesak pada ketika ini,” tambahnya.