Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Talian bantuan nasional baru ‘1771’ bagi sokong kesihatan mental

Jun 18, 2025 | 7:31 PM
Talian bantuan nasional baru, kesihatan mental,
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon. - Foto ZAOBAO

Warga Singapura yang memerlukan sokongan kesihatan mental kini boleh menghubungi talian bantuan nasional pertama – talian minda nasional 1771. 

Dilancarkan Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan), Dr Koh Poh Koon, pada 18 Jun, perkhidmatan 24/7 (24 jam setiap hari) itu diperkenalkan untuk menyediakan satu saluran mudah diakses bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. 

Sebelum ini, individu perlu menghubungi sendiri pelbagai talian bantuan, agensi atau perkhidmatan masyarakat, dan sering kali tidak pasti di mana dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

Bercakap semasa acara pelancaran, Dr Koh berkata talian bantuan baru itu mencerminkan pendekatan nasional yang lebih selaras dan inklusif, memastikan sokongan tepat pada masanya akan dapat dicapai. 

Beliau menambah bahawa pandemik Covid-19 yang mendedahkan banyak kes kesihatan mental telah menunjukkan akan perlunya satu talian bantuan sebagai tempat rujukan pertama.

Dikendalikan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH), talian minda 1771 diuruskan oleh pasukan 30 kaunselor dan ahli psikologi terlatih yang bertugas secara bergilir dalam menyediakan sokongan berterusan sepanjang masa. 

Dr Koh berkata: “Ini adalah kali pertama kami menubuhkan talian bantuan di peringkat nasional yang berperanan sebagai titik permulaan bagi mereka yang memerlukan sokongan kesihatan mental.

“Talian minda 1771 ini membolehkan mereka yang sedang bergelut mendapatkan panduan awal untuk memahami landskap perkhidmatan yang ada, serta menghubungkan mereka kepada tahap campur tangan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.”

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha nasional menjadikan kesihatan mental satu keutamaan, dan antara cadangan utama di bawah Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional.

Selain menawarkan kaunseling secara langsung, talian nasional 1771 berperanan sebagai perkhidmatan ‘mencari jalan’ yang menghubungkan pemanggil kepada sumber bersesuaian seperti pengamal perubatan umum terlatih dalam kesihatan mental, agensi perkhidmatan sosial, serta khidmat khusus untuk belia dan pekerja migran.

“Ia sebenarnya bertujuan mempermudah proses agar mereka berasa bantuan sentiasa di hujung jari – dan tidak menangguhkan usaha mendapatkan sokongan sehingga ia menjadi terlalu lambat atau terlalu membebankan,” ujar Dr Koh.

Dalam kes yang lebih serius, seperti apabila seseorang berisiko mencederakan diri sendiri atau membahayakan orang lain, talian bantuan boleh memudahkan pemindahan segera ke IMH atau campur tangan polis.

Individu yang memerlukan sokongan boleh menghubungi talian 1771 untuk bercakap dengan kaunselor terlatih, atau berbuat demikian melalui perkhidmatan mesej WhatsApp (+65-6669-1771) atau menerusi laman di https://mindline.sg/fsmh.

Beliau menambah bahawa pandemik Covid-19 menekankan keperluan untuk talian bantuan bersatu sebagai titik sentuh.

“Tujuan penubuhan 1771 adalah untuk mewujudkan satu talian hotline yang diiktiraf secara nasional dan diketahui umum, supaya dalam waktu krisis, ia boleh disesuaikan bagi menyokong keperluan lebih meluas dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya berlaku krisis besar di peringkat nasional, talian ini dapat berfungsi sebagai asas bagi meningkatkan kapasiti respons, dengan menggerakkan pegawai daripada pelbagai agensi pemerintah yang telah dilatih dalam pertolongan cemas psikologi bagi memperkukuh perkhidmatan apabila diperlukan,” kata Dr Koh.

Dengan pelancaran perkhidmatan nasional ini, IMH akan menamatkan talian bantuannya dan semua panggilan ke talian IMH akan diarahkan secara automatik ke talian minda nasional 1771 mulai 18 Jun hingga 30 September. Selepas tarikh itu orang ramai boleh menghubungi terus talian 1771.

Walaupun persediaan semasa 30 kaunselor dan ahli psikologi dianggap mencukupi, Kementerian Kesihatan (MOH) akan memantau jumlah panggilan dan meningkatkan sumber jika diperlukan.

“Ini bukan penamat, ini hanya permulaan, dan kami akan berkembang seiring dengan perkembangan keperluan masyarakat,” tambah Dr Koh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg