Topik diikuti
Pergi ke BHkuTeater, dikir barat perkasa kanak-kanak prasekolah guna bahasa ibunda
Syed Harun: Bahasa Melayu adalah ‘jendela’ bagi kanak-kanak kenali budaya, warisan dan nilai murni sejak usia muda
Teater, dikir barat perkasa kanak-kanak prasekolah guna bahasa ibunda
Menyarungkan kostum kancil berwarna coklat terang, Rizq Dawood Ridzwan, lima tahun, petah melontarkan dialog dan menyanyi dalam bahasa Melayu.
“Hmm, saya ada idea, gajah panggil tupai!” jeritnya kepada rakan-rakannya yang turut melakonkan watak haiwan lain seperti tupai, harimau dan buaya.
Bukan itu sahaja, mereka turut mendendangkan lagu Bebola Tupai – sebuah rendisi unik yang diinspirasikan daripada lagu klasik kumpulan Sweet Charity, Bulat-Bulat, sebagai selingan dalam persembahan teater mereka.
Membawakan watak Sang Kancil dalam teater Hikayat Sang Kancil Moden, Dawood merupakan antara 170 kanak-kanak daripada sembilan pusat Prasekolah 7oaks yang menjayakan acara Tika Tinta Bicara – sambutan Bulan Bahasa anjuran Oaks Plus Limited di Auditorium Stephen Riady, NTUC Centre, pada 28 November.
Turut hadir sebagai tetamu terhormat ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Dr Syed Harun berkata bahasa Melayu merupakan “jendela” utama bagi membolehkan kanak-kanak mengenali serta mencintai budaya, warisan dan nilai murni sejak usia muda.
Menurutnya, usaha memupuk minat terhadap bahasa Melayu perlu bermula awal lagi dengan kerjasama ibu bapa, guru dan masyarakat.
“Mustahil untuk kita dapat mengenali dan mencintai sesuatu warisan tanpa mengenali bahasa sebagai permulaan.
“Lebih penting daripada warisan ialah nilai-nilai murni yang kita bawa kepada anak-anak kita melalui cerita rakyat seperti Sang Kancil,” ujar Dr Syed Harun.
Dr Syed Harun menambah penerapan seni budaya boleh membantu menjadikan bahasa Melayu lebih menarik serta menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa bahasa itu boleh terus mekar dalam kehidupan harian mereka, sekali gus membina keyakinan diri untuk menggunakannya.
Sambutan budaya oleh 7oaks itu bertujuan membawa pembelajaran Bahasa Melayu keluar dari bilik darjah dan ke pentas.
Persembahan selama dua jam itu merangkumi teater dan dikir barat daripada kanak-kanak Tadika 1 serta persembahan silat oleh gabungan Tadika 1 dan Nursery.
Mereka dilatih oleh beberapa rakan masyarakat seperti kumpulan dikir barat, Kelana Purba; kumpulan teater Melayu tempatan, Teater Kami; dan Akademi Silat Pendekar.
Ia turut menyaksikan segmen Duta Cilik, di mana beberapa pelajar Tadika 1 daripada pelbagai lokasi 7oaks dilantik menjadi duta, mengambil alih daripada pelajar Tadika 2.
Peranan duta cilik ialah sebagai pembimbing rakan sebaya untuk menggalakkan serta membantu rakan-rakan bertutur dalam bahasa Melayu secara santai dan tidak tertekan, di samping menjayakan tugasan bulanan seperti merakam vlog percutian bersama keluarga.
Antara tarikan utama acara tahunan kali ini ialah pementasan teater Hikayat Sang Kancil Moden yang diadaptasi daripada tujuh cerita asli dalam bentuk Buku Besar hasil karya pendidik Bahasa Melayu Prasekolah 7oaks.
Diilhamkan daripada cerita rakyat Sang Kancil, karya tersebut mendekatkan warisan budaya dengan pengalaman kanak-kanak masa kini – antaranya penggunaan telefon bijak, makanan moden, dan nilai penting yang harus dijiwai kanak-kanak.
Pakar Kurikulum Bahasa Melayu Prasekolah 7oaks, Cik Nurhuda Ibrahim, berkata teater itu bertujuan membantu kanak-kanak menjiwai watak dan memahami jalan cerita secara mendalam, berbanding hanya membaca buku secara pasif.
Menurutnya, cabaran utama sepanjang sesi latihan sejak September lalu adalah membina keyakinan diri kanak-kanak Tadika 1 untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan beraksi di hadapan khalayak ramai.
Namun, melihat kanak-kanak itu bertutur dalam bahasa Melayu selepas persembahan ternyata memberikan kepuasan mendalam buat beliau selaku penyelaras acara tersebut.
“Apabila mereka berjumpa dengan ibu dan ayah selepas persembahan tadi, ada yang bertutur dalam bahasa Melayu dengan berkata, ‘Eh, saya dah berjaya!’ tanpa menggunakan bahasa Inggeris.
“(Ketika berlatih) di rumah juga mereka akan menyanyikan lagu yang dipelajari semasa latihan dan ini mencetuskan kesan rantaian (ripple effect) yang positif.
“Selain keyakinan dan kefasihan berbahasa, mereka turut memahami nilai murni seperti kejujuran serta sikap berdikari, sekali gus membantu mereka menghayati makna sebenar di sebalik cerita dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Beliau menambah, ibu bapa tidak seharusnya menunggu sehingga anak-anak benar-benar fasih sebelum mula bertutur dalam bahasa Melayu bersama mereka, sebaliknya pembiasaan dari rumah adalah kunci utama untuk membantu mereka menguasai bahasa tersebut.
Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan para guru prasekolah yang berminat untuk tampil ke hadapan mengajar bahasa Melayu tanpa berasa gentar atau bimbang akan tahap penguasaan bahasa masing-masing.
“Ada guru yang berasa takut dan berkata, ‘Saya tidak pandailah bahasa Melayu,’ tetapi mereka tidak sedar bahawa pada peringkat prasekolah, tiada ujian yang menuntut kanak-kanak mendapat semuanya betul.
“Sebaliknya, matlamat utama kita adalah untuk menyemai rasa cinta serta mendekatkan kanak-kanak ini kepada bahasa Melayu sejak awal lagi,” katanya.