Bukan selalu seseorang diberi peluang menggunting rambut pemain kelab bola sepak bertaraf dunia.
Namun, itulah pengalaman manis yang dialami oleh sekumpulan penggaya rambut tempatan daripada salun Menspire Singapore, apabila mereka diberi kepercayaan untuk menggunting rambut beberapa bintang kelab terkenal England, Arsenal, semasa pasukan itu berada di Singapura bagi perlawanan persahabatan pramusim pada 26 Julai.
Bagi pengarah bersama Menspire Singapore, Muhammad Sufiyan Shafari, 29 tahun, peluang itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.
“Saya memang peminat bola sepak sejak kecil. Jadi apabila diberi peluang menggunting rambut pemain Arsenal, saya memang teruja dan sedikit gementar juga,” kongsinya sambil tersenyum.
Antara pemain yang mendapatkan sentuhan tangan mereka termasuk kapten pasukan Arsenal, Martin Ødegaard, serta beberapa pemain lain seperti Kai Havertz, Ben White, Gabriel Martinelli, dan Gabriel Magalhães.
Menurut Sufiyan, mereka menggunting rambut seramai 30 orang, termasuk pemain, kakitangan serta pegawai keselamatan kelab itu.
Pengarah bersama Menspire Singapore, Danesh Sweegers, 23 tahun, berkata peluang istimewa itu tercetus apabila penjaga gol simpanan Arsenal, Alexei Rojas, sendiri menghubungi mereka untuk mendapatkan khidmat gunting rambut.
Menurutnya, Rojas dan beberapa pemain Arsenal sering mendapatkan khidmat gunting rambut di cawangan Menspire di St Albans, London, jadi apabila mereka di Singapura, mereka mahu rambut mereka digunting di cawangan Menspire juga.
“Dari situ, kami dapat undangan untuk ke hotel mereka dan menggunting rambut mereka. Kami lakukan kerja itu dari 3 petang hingga 12 tengah malam. Meskipun ia sungguh memenatkan, tetapi adalah pengalaman istimewa.
“Mereka sangat mesra, peramah dan bergurau senda bersama kami. Kami dapat lihat keakraban antara para pemain,” ujar Danesh yang berasa keakraban sedemikian juga penting dalam apa jua tugas.
Ternyata peluang menggunting rambut para pemain ternama itu memberi pasukan Sufiyan dan Danesh keyakinan dalam kemahiran mereka sendiri.
“Sebenarnya, bagi setiap tukang gunting atau pendandan rambut, sudah menjadi impian untuk menggunting rambut selebriti, tetapi dalam hati, selalu tertanya-tanya, ‘Bolehkah kami lakukannya dengan baik?’.
“Mula-mula, memang rasa gementar. Tapi apabila dah mula menggunting, kami sedar yang mereka pun macam pelanggan lain juga. Yang penting, kami berikan yang terbaik,” kongsi Sufiyan.
Salun Menspire Singapore adalah sebahagian daripada lebih 30 cawangan Menspire di serata dunia.
Cawangan di Amoy Street itu dibuka baru-baru ini pada Jun dan merupakan cawangan pertama jenama berpangkalan di Britain itu di rantau ini.
Setakat ini, Menspire Singapore mempunyai empat kakitangan, termasuk Sufiyan dan Danesh, yang menguruskan operasi cawangan itu.
Mereka mempunyai dua pendandan rambut iaitu Zuladib Zulkhairi, 19 tahun, dan Muhammad Hazim Hanif, 25 tahun.
Danesh turut berharap pengalaman itu menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak peluang, bukan sahaja di peringkat antarabangsa, malah dalam negara juga.
“Kami harap peluang ini membuka pintu kepada lebih banyak projek di sini. Kami memang teringin nak gunting rambut pemain bola tempatan dalam Liga Perdana Singapura (SPL) juga,” katanya dengan penuh semangat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg