Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, akan berkongsi di Parlimen pada minggu depan pengajaran daripada kejadian baru-baru ini yang melibatkan seorang ‘pempengaruh agama’, serta langkah-langkah yang sedang diambil untuk memperkukuh perlindungan.

Ini di samping memastikan masjid-masjid di sini sentiasa mesra dan mudah didekati masyarakat, tulis beliau dalam satu kiriman Facebook pada 6 September.

Kiriman beliau di media sosial itu susuli kes melibatkan seorang ‘pempengaruh agama’ yang dikenakan hukuman penjara dan sebat kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

Pesalah tersebut, seorang lelaki berusia 37 tahun, berulang kali merogol adik daripada dua beradik tersebut, yang ketika itu berusia antara enam dengan lapan tahun, di beberapa lokasi termasuk tandas sebuah masjid yang sering mereka kunjungi untuk menunaikan solat bersama.

Kes tersebut telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat, yang antara lain, mengutarakan keprihatinan tentang keselamatan kanak-kanak dan juga perlindungan di masjid.

Encik Zaqy berkata ramai ibu bapa dan anggota masyarakat telah berkongsi keprihatinan mereka tentang kejadian tersebut, dan sejak beberapa minggu lalu, beliau telah mendengar secara langsung daripada keluarga, pemimpin masjid dan asatizah.

Menyatakan bahawa pihaknya memandang serius keprihatinan tersebut, Encik Zaqy menambah:

“Saya memahami kebimbangan mereka, terutama tentang keselamatan anak-anak kita.

“Masjid kita harus terus menjadi ruang yang terbuka dan mesra untuk masyarakat Islam beribadah, menimba ilmu dan berkumpul bersama. Pada masa yang sama, kita mesti memastikan perlindungan yang kukuh, terutama untuk anak-anak dan belia kita.

“Di Parlimen minggu hadapan, saya akan berkongsi pengajaran daripada kejadian ini serta langkah-langkah yang sedang diambil untuk memperkukuh perlindungan ini.”

Dalam kes tersebut, ‘pempengaruh agama’ yang terlibat telah dikenakan hukuman penjara 27 tahun dan 10 bulan di samping 24 sebatan pada 17 Ogos kerana melakukan kesalahan seksual terhadap dua beradik lelaki muda antara 2023 dengan 2024.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol dan dua tuduhan mencabul kehormatan, manakala 12 lagi tuduhan berkaitan pelbagai kesalahan seksual diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Susulan itu, Encik Zaqy, dalam satu video yang dimuat naik di Facebook pada 18 Ogos, telah menjelaskan bahawa pesalah itu tidak mengendalikan kelas agama rasmi yang dianjurkan atau diluluskan oleh pihak masjid.

Individu terbabit juga bukan kakitangan atau sukarelawan masjid, dan bukan asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Encik Zaqy menambah bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan menyemak semula langkah perlindungan di masjid, terutamanya kegiatan dan perhimpunan tidak formal yang melibatkan kanak-kanak dan belia.