Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy: Usahawan Melayu perlu berani rebut peluang, teroka pasaran baharu
Zaqy: Usahawan Melayu perlu berani rebut peluang, teroka pasaran baharu
Dengan persaingan yang semakin global serta perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta automasi yang mengubah cara perniagaan beroperasi, usahawan Melayu perlu melangkah lebih jauh – bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, malah berani merebut peluang dan meneroka pasaran baharu.
Oleh itu, dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) memainkan peranan penting kerana ia dapat membantu memberikan sokongan, ilmu dan rangkaian lebih luas kepada usahawan.
Demikian kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis jamuan malam gala ulang tahun ke-70 DPPMS, yang diadakan di Hotel Fairmont Singapore pada 23 Oktober.
Turut hadir di majlis itu ialah tetamu terhormat, Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Menurut Encik Zaqy, dengan persaingan semakin sengit dan cabaran kian besar hari ini, tidak mudah bagi perniagaan terus bersaing, apatah lagi bagi perniagaan kecil dengan sumber terhad.
Namun begitu, AI dan automasi boleh membantu meningkatkan daya penghasilan dan mengurus perniagaan dengan lebih cekap.
Beliau memberi contoh kerjasama DPPMS dengan SGTech menerusi Inisiatif Perusahaan Sedia AI, yang akan menyokong sehingga 60 perusahaan dalam pelaksanaan AI bagi perniagaan mereka dan membangunkan Pejuang Digital yang akan membimbing usahawan.
“Sudah tiba masanya untuk usahawan kita melangkah lebih jauh. Bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi berani merebut peluang, meneroka pasaran baharu dan mengembangkan perniagaan.
“Di sinilah pentingnya peranan DPPMS. Dengan sokongan, ilmu dan rangkaian yang lebih luas, usahawan kita tidak perlu menghadapi cabaran ini bersendirian,” kata Encik Zaqy.
Beliau turut menggalak usahawan agar merebut peluang melangkaui Singapura supaya syarikat dapat bersaing dan berkembang maju dengan lebih baik dalam ekonomi yang sedang berubah.
Dalam hal ini, beliau mengalu-alukan MOU yang ditandatangani antara DPPMS dengan Persekutuan Perkilangan Singapura (SMF) di majlis itu, bagi meneroka peluang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Saya berharap DPPMS akan memupuk lebih banyak kerjasama sedemikian dengan persatuan industri, bagi menghubungkan syarikat kecil dan sederhana (SME) dengan amalan terbaik, kepakaran dan rangkaian lebih luas,” kata beliau.
Namun, Encik Zaqy berkata kekuatan DPPMS bukan hanya terletak pada kejayaan anggotanya, bahkan juga pada keupayaannya membuka lebih banyak peluang untuk usahawan lain turut berjaya.
Beliau memberi contoh Encik Shahid Selamat, daripada HaBeeBee Enterprise.
Dengan sokongan daripada anggota lembaga DPPMS, Encik Abdul Latip Isnin, produk Encik Shahid berjaya menembusi pasar raya sepanjang Ramadan, sekali gus membuka pasaran baharu bagi perniagaan mikro beliau.
Kejayaan bukan sekadar meraih keuntungan atau pertumbuhan perniagaan, malah juga tentang peluang yang dapat dibukakan untuk orang lain, kata beliau.
“Kita boleh membimbing usahawan muda, membantu perniagaan kecil dan berkongsi pengalaman.
“Inilah semangat ihsan yang ingin kita terus pupuk.
“Kita mahu melihat perniagaan kita bukan sahaja terus maju, tetapi turut membuka jalan untuk orang lain berjaya. Kerana apabila lebih ramai usahawan berjaya, seluruh masyarakat kita turut maju bersama,” kata beliau.
“
“Sudah tiba masanya untuk usahawan kita melangkah lebih jauh. Bukan sekadar menyesuaikan diri dengan perubahan, tetapi berani merebut peluang, meneroka pasaran baharu dan mengembangkan perniagaan. Di sinilah pentingnya peranan DPPMS. Dengan sokongan, ilmu dan rangkaian yang lebih luas, usahawan kita tidak perlu menghadapi cabaran ini bersendirian.”