Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata masjid baru di estet Tengah – sebahagian kawasan GRC itu – amat dinanti-nantikan penduduk Muslim di situ.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 11 Julai, beliau menzahirkan keyakinannya bahawa masjid baru itu akan menjadi pusat ibadah, pembelajaran dan keharmonian agama yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Islam di situ.
“Ini adalah berita yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk Muslim di kawasan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha dan menyumbang dalam merealisasikan impian ini.
“Saya yakin masjid ini akan menjadi pusat ibadah, pembelajaran dan perpaduan masyarakat yang bermanfaat untuk semua,” tulisnya.
Kenyataan Encik Zhulkarnain itu dibuat selepas Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengumumkan mengenai tapak pembinaan masjid di Tengah, semasa ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Darussalam pada 11 Julai.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan penelitian Berita Harian (BH) melalui Pelan Induk Pembangunan Semula Bandar (URA), masjid itu berdekatan dengan kawasan perumahan Brickland Weave dan Parc Meadow @ Tengah.
Stesen MRT Tengah dan Pusat Pertukaran Bas Tengah di Tengah Boulevard juga dijangka berhampiran.
Kawasan Tengah merupakan sebahagian dari kawasan undi GRC Chua Chu Kang dan menurut Encik Zhulkarnain, beliau dan pasukan AP di situ akan berusaha meningkatkan lebih banyak ruang solat sementara menunggu masjid baru itu siap.
“Saya bersama pasukan GRC kami, Menteri Tan See Leng; Pemangku Menteri, Encik Jeffrey Siow; Dr Choo Pei Ling, akan berusaha memperluaskan lebih banyak ruang solat sementara menanti masjid baru ini siap, melalui kumpulan kariah di Brickland dan Keat Hong, khususnya menjelang Ramadan dan sambutan Hari Raya nanti,” tambahnya.
Beliau turut melahirkan penghargaannya kepada mantan Penasihat Akar Umbi Brickland, Encik Don Wee, yang telah bekerjasama dengan Masjid Al-Khair untuk menubuhkan kariah baru di Brickland pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg