KEHILANGAN mata, sama ada disebabkan oleh kemalangan, akibat penyakit seperti tumor atau okular peringkat akhir seperti glaukoma dan diabetes, boleh menjejaskan kehidupan.
Segelintir orang pula dilahirkan dengan kecacatan dalam mata seperti ketiadaan mata sejak lahir (anoftalmia), mata kecil yang tidak normal (mikroftalmia) atau tumor mata (retinoblastoma).
Pemulihan kosmetik menerusi peralatan prostetik atau mata tiruan yang dibuat khas dapat memudahkan individu tanpa sebelah mata menyesuaikan diri di samping memberi keselesaan fizikal dan kelegaan kepada pesakit.
Kehilangan mata akan menjejaskan kualiti hidup, mendatangkan kesan ketara terhadap imej dan juga keyakinan diri seseorang, terutama yang hilang penglihatan sebelah mata.
Bagi menjaga kesejahteraan pesakit, Cik Suriya Abu Waled (gambar) bertanggungjawab melukis mata palsu itu dengan tangan supaya sepadan dengan mata yang sihat.
Beliau juga satu-satunya pembuat mata palsu yang cukup berpengalaman bertugas di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Cik Suriya, 49 tahun, merupakan pakar 'ocularist' atau pakar mata dengan kepakaran membuat dan memasang prostesis mata bagi mereka yang kehilangan pancaindera.
Bermula sebagai pakar pengimejan, beliau meningkatkan ilmu ke India mempelajari selok-belok tugas ini.
Beliau jugalah yang memulakan proses pembuatan mata tiruan dengan menentukan bentuk soket mata dan menyesuaikan kerangka plastik dengan bentuk mata yang asal.
Sebagai pakai pakar okular, beliau akan membimbing pesakit mengenai cara mengendali dan menjaga prostesis mata serta menyediakan penjagaan jangka panjang menerusi pemeriksaan berkala.
Laporan lanjut: Satu-satunya pakar mata palsu di NUH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg