Sepasang kembar lelaki berusia 11 tahun telah ditemui mati di Taman Permainan Greenridge Crescent di Toh Yi, Upper Bukit Timah, pada Jumaat malam (21 Jan).
Pihak polis menerima panggilan dari seorang lelaki yang meminta bantuan di sebuah taman permainan di Greenridge Crescent, pada Jumaat sekitar 6.25 petang, menurut satu kenyataan polis pada Sabtu (22 Jan).
Setibanya polis di tempat kejadian, kededua anak kepada lelaki itu, ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri berdekatan dengan taman permainan serta diisytiharkan sudah meninggal dunia oleh paramedik.
Siasatan polis mengenai kes kematian tidak semula jadi kededua budak lelaki itu, masih berjalan.
Sekitar 4 petang, beberapa orang, termasuk teman kepada keluarga dua budak lelaki itu kelihatan sedang melakukan upacara keagamaan di sekitar longkang yang berdekatan.
Semasa ditemui Berita Harian, rakan keluarga mangsa, Encik Fong dari syarikat Singapore Yin Feng Shui Funeral Services (bertongkat dan berjaket hitam) telah mengesahkan bahawa keluarga mangsa telah mengarahkan syarikatnya untuk melakukan upacara keagamaan itu.
Dalam pada itu, sekitar tengah hari tadi, terdapat dua kenderaan polis di sekitar Greenridge Crescent manakala pegawai berpakaian biasa kelihatan sedang berbual-bual dengan penduduk di sekitar estet Eng Kong.
Pegawai polis dari Kontinjen Gurkha pula dilihat sedang berjalan di longkang berdekatan dan kawasan hutan di belakang taman permainan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg