Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maybank Islamic hulur bantuan untuk 80 keluarga sempena Ramadan

Apr 24, 2020 | 10:49 AM
 BANTUAN RAMADAN: Maybank Islamic memperuntukkan $10,000 untuk 80 keluarga berpendapatan rendah yang kebanyakannya berada di timur dan tengah Singapura dan telah mendaftar dengan Masjid Wak Tanjong dan Kelab Samrah Singapura.
BANTUAN RAMADAN: Maybank Islamic memperuntukkan $10,000 untuk 80 keluarga berpendapatan rendah yang kebanyakannya berada di timur dan tengah Singapura dan telah mendaftar dengan Masjid Wak Tanjong dan Kelab Samrah Singapura. - - Foto: FACEBOOK/MASJIDWAKTANJONG

SEMPENA Ramadan tahun ini, Maybank Islamic, berganding bahu dengan dua pertubuhan - Islamic Relief Malaysia dan Kelab Samrah Singapura - bagi menyediakan baucar membeli keperluan harian berjumlah $10,000 untuk dimanfaatkan 80 keluarga berpendapatan rendah.

Dalam kenyataannya pagi ini, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha meluas program Bantuan Ramadan Serantau (RRR) Maybank.

"RRR adalah program kebertanggungjawab korporat utama Perbankan Islam Kumpulan Maybank menggunakan dana zakat (cukai derma) yang bertujuan mengagihkan bekalan makanan kepada yang kurang bernasib baik semasa bulan puasa ini.

"Maybank Singapore telah menjalankan RRR sejak 2017 di mana bank telah menyumbang baucar makanan kepada lebih 1,000 keluarga di Singapura yang memerlukan bantuan kewangan sejak itu."

Tahun ini, baucar makanan itu akan diberikan kepada setiap keluarga secara pos antara 26 April hingga 7 Mei ini.

Ia diperuntukkan kepada kesemua 80 keluarga berpendapatan rendah yang kebanyakannya berada di timur dan tengah Singapura dan telah mendaftar dengan Masjid Wak Tanjong dan Kelab Samrah.

Kelab Samrah adalah pertubuhan tidak mencari keuntungan yang memberi tumpuan kepada program pembangunan keluarga dan masyarakat, dan telah bekerja bersama-sama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam lainnya bagi mengagihkan wang zakat dan derma kepada golongan memerlukan.

Ketua Perbankan Islam di Maybank Singapore, Encik Norzulkarnien Nor Mohamad, berkata: "Sebagai sebahagian daripada daya usaha Maybank Islamic dalam mendukung prinsip syariah, kami punya beberapa program kebertanggungjawaban korporat yang dilancarkan semasa tempoh Covid-19 selain semasa bulan puasa.

"Salah satunya ialah program Bantuan Ramadan Serantau. Memandangkan ada sebahagian masyarakat yang pendapatan mereka terjejas semasa tempoh pemutus litar, kami harap bantuan makanan akan meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung anggota masyarakat yang memerlukan," ujarnya.

Maybank telah beroperasi selama 60 tahun di Singapura.

Tahun ini Maybank Islamic menawarkan $1 juta bagi membantu 15,000 keluarga kurang kemampuan di 10 negara Asean di bawah program RRR.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg