Topik diikuti
Pergi ke BHkuMCCY, MHA, MFA: Love Aid Singapore tidak perlu pengesahan pemerintah daftar NGO di Palestin
MCCY, MHA, MFA: Love Aid Singapore tidak perlu pengesahan pemerintah daftar NGO di Palestin
MCCY, MHA, MFA: Love Aid Singapore tidak perlu pengesahan pemerintah daftar NGO di Palestin
Love Aid Singapore (LAS) tidak memerlukan sokongan atau pengesahan daripada pemerintah Singapura untuk memohon pendaftaran sebagai badan bukan pemerintah (NGO) di Palestin.
Pengasas LAS, Encik Gilbert Goh, sebelum ini berkata dalam satu hantaran di media sosial pada 21 November bahawa permohonan pertubuhan itu untuk mendaftar sebagai NGO di Palestin masih belum “diselesaikan”, sebahagiannya kerana ia masih belum memperoleh pengesahan daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura.
Dalam satu kenyataan bersama pada 27 November, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), MFA dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menjelaskan bahawa pengesahan daripada pemerintah Singapura tidak diperlukan untuk pendaftaran sedemikian, dan pemerintah tidak mengeluarkan sebarang pengesahan seumpamanya.
Kenyataan itu menambah, perkara tersebut merupakan urusan antara NGO berkenaan dengan pihak berkuasa asing.
Menurut kenyataan itu lagi, sesiapa yang mengumpul dana di Singapura bagi tujuan amal di luar negara mesti mematuhi keperluan pengumpulan dana yang berkenaan, termasuk mendapatkan permit daripada COC, sekiranya diperlukan.
“Langkah ini bertujuan melindungi kepentingan penderma serta memastikan dana yang dikumpulkan di Singapura disalurkan kepada tujuan yang telah dinyatakan dan benar-benar sah, serta tidak disalahgunakan bagi aktiviti berkaitan pengganasan atau memberi manfaat kepada entiti pengganas,” kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Love Aid Singapore bukan badan amal yang berdaftar di Singapura.
Sebelum ini, Pejabat Pesuruhjaya Badan Amal (COC) telah memberikan nasihat kepada Encik Goh mengenai keperluan pengumpulan dana yang berkenaan.
“COC sebelum ini telah memberikan nasihat kepada Encik Goh mengenai keperluan pengumpulan dana yang terpakai di Singapura, tanpa mengira status pendaftaran sesebuah badan amal.
“Keperluan ini tidak menghalang individu dan organisasi daripada menjalankan kerja kemanusiaan di luar negara,” ujar kenyataan tersebut.
Pada 22 September lalu, MFA, MHA dan MCCY, dalam satu kenyataan bersama berkata badan-badan yang ingin menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri Penguasa Palestin (PA), dan tidak memerlukan sebarang pengesahan daripada pemerintah Singapura untuk tujuan pendaftaran tersebut.