Dalam usaha membantu keluarga berpendapatan rendah keluar daripada kesusahan kewangan, kita perlu melihat kekuatan yang dimiliki mereka dan bukan hanya kekurangan mereka.

Demikian pandangan pengasas bersama inisiatif Empowered Families Initiative (EFI), Cik Siti Adriana Sarip, 33 tahun, yang menerajui inisiatif tersebut bagi membantu keluarga berpendapatan rendah mengembangkan potensi dan usaha yang telah mereka mulakan sendiri.

Ditubuhkan pada 2022 oleh Cik Siti bersama dua rakan pengasasnya, Cik Sonia Mariana Muhammad Jalal dan Encik Palvindran Jayram, EFI membantu keluarga menerusi tiga pendekatan utama.

Pertama, keluarga yang menyertai program itu diberikan modal permulaan atau geran untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi mereka sendiri.

Ini termasuk keluarga yang ingin memulakan perniagaan dari rumah tetapi tidak mempunyai modal mencukupi, atau mereka yang ingin melanjutkan pelajaran tetapi kekurangan sumber kewangan.

EFI berperanan merapatkan jurang tersebut.

“Apabila saya melihat masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah atau yang mudah terjejas, saya tidak melihat kekurangan mereka, sebaliknya kekuatan yang mereka miliki.

“Jadi, saya sentiasa mengutamakan pendekatan yang berasaskan aset dan kekuatan individu apabila membantu mereka,” kata Cik Siti, yang mempunyai lebih sedekad pengalaman dalam sektor perkhidmatan sosial, kepada Berita Harian (BH).

Cik Siti sendiri pernah menerima bantuan daripada seorang penderma yang prihatin ketika di bangku sekolah menengah.

Individu tersebut membiayai sebahagian kos pendidikannya dan memberikan kepercayaan kepadanya untuk terus maju.

Pengalaman itu mendorong beliau untuk mengamalkan prinsip yang sama dengan membantu individu lain yang memerlukan sokongan.

Sepanjang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan sosial, Cik Siti pernah bekerja secara langsung dengan keluarga, turun padang untuk mengenal pasti kekuatan dan sumber yang mereka miliki serta menghubungkan mereka dengan agensi yang dapat memberikan bantuan bersesuaian.

Beliau turut mengumpulkan ibu bapa dalam masyarakat setempat untuk berbincang, berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing, serta mencari penyelesaian bersama bagi menangani cabaran yang dihadapi keluarga.

Pendekatan kedua EFI ialah menyediakan skim padanan simpanan bagi menggalakkan keluarga membina tabungan sendiri.

Bagi setiap $1 yang disimpan keluarga, EFI akan memadankannya dengan $2 sepanjang tempoh enam bulan, tertakluk kepada had maksimum $1,200.

Dari segi pembiayaan, Cik Siti berkata EFI menerima sokongan daripada pelbagai sumber, termasuk pemerintah menerusi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta sumbangan daripada pihak swasta.

Pendekatan ketiga pula melibatkan kumpulan sokongan rakan sebaya yang menghimpunkan keluarga dalam program tersebut.

Mereka bertemu secara berkala untuk berkongsi perkembangan dan pencapaian masing-masing. Melalui pertemuan itu, keluarga dapat belajar daripada pengalaman satu sama lain, selain memberikan galakan dan sokongan.

Menurut Cik Siti, ada keluarga yang menyertai program tersebut turut menggalakkan jiran tetangga mereka memohon bantuan EFI selepas melihat sendiri manfaat yang diperoleh.

“Melalui perkongsian dari mulut ke mulut, jiran tetangga mereka juga akan mengetahui tentang inisiatif ini. Mereka akan memberitahu keluarga lain bahawa EFI boleh mendampingi dan menyokong mereka dalam mencapai matlamat yang ingin diusahakan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.

Setiap kohort EFI lazimnya melibatkan sekitar 60 keluarga setahun, tambah beliau.

EFI mula ditubuhkan pada 2022 selepas Cik Siti dan rakan-rakan pengasasnya menyertai satu program hackathon selama setahun yang mencabar peserta menghasilkan penyelesaian inovatif bagi menangani kemiskinan.

Kumpulan mereka berjaya meraih tempat pertama daripada 60 kumpulan yang mengambil bahagian.

“Kami diberikan dana permulaan untuk menjalankan projek rintis dan turut menerima wang kemenangan. Jadi, kami berpendapat wang itu wajar digunakan untuk terus menyokong keluarga menerusi inisiatif EFI,” katanya.

Sebagai mengiktiraf sumbangannya, Cik Siti menerima Anugerah Individu Pembela Pertahanan Mutlak pada 12 November, sempena majlis penyampaian Anugerah Pertahanan Mutlak.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Raffles City itu merupakan pengiktirafan tertinggi bagi syarikat, pertubuhan, institusi pendidikan dan individu di Singapura yang menunjukkan sokongan cemerlang terhadap enam tonggak Pertahanan Mutlak, iaitu ketenteraan, awam, ekonomi, sosial, digital dan psikologi, dan/atau Perkhidmatan Negara (NS).

Sebanyak 145 Anugerah Pembela Pertahanan Mutlak disampaikan tahun ini kepada 49 perusahaan kecil dan sederhana (SME), 20 syarikat besar, 43 pertubuhan dan 33 individu.

Meskipun beliau menerima anugerah itu atas sumbangan individunya, Cik Siti berkata pengiktirafan tersebut turut mencerminkan usaha EFI dalam memperkukuh pertahanan sosial Singapura melalui pembinaan masyarakat yang saling mempercayai dan menyokong.

“Pertahanan Mutlak mempunyai beberapa tonggak, dan pertahanan sosial merupakan salah satunya. Ia merujuk kepada daya tahan sesebuah negara untuk mengharungi pelbagai krisis, termasuk keupayaan masyarakat untuk saling membantu ketika berdepan kesukaran.

“Apabila kita berbicara tentang pertahanan sosial, kita sebenarnya melihat kepada pembinaan infrastruktur sosial dan masyarakat yang lebih berdaya tahan, yang saling mempercayai dan bersedia membantu satu sama lain.

“Melalui usaha EFI, keluarga dihimpunkan untuk saling membantu. Apabila mereka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan cabaran, hubungan kepercayaan dapat dibina. Mereka menjalin hubungan yang bermakna dan boleh saling bergantung, termasuk ketika berdepan krisis,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti