Seramai 17 pelajar Melayu/Islam dari institusi pengajian tinggi (IHL) telah menyertai lawatan pembelajaran anjuran Yayasan Mendaki ke Shenzhen dan Guangzhou, China, dari 12 hingga 16 Oktober.

Program yang dianjurkan Mendaki buat julung kalinya itu bertujuan memberi pelajar pendedahan langsung kepada perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi baharu.

Inisiatif itu sebahagian daripada usaha berterusan Mendaki untuk melengkapi belia Melayu/Islam dengan kemahiran, pemikiran dinamik serta rangkaian profesional bagi berdepan cabaran ekonomi dan dunia pekerjaan yang kian berubah.

Para peserta merangkumi pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti dalam pelbagai bidang pengajian seperti kejuruteraan, pengkomputeran serta perniagaan. 

Pemilihan peserta dibuat berdasarkan pencapaian akademik serta minat mereka terhadap bidang AI dan teknologi.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata pendedahan sedemikian penting untuk membantu belia memahami perkembangan teknologi di rantau ini serta mempersiapkan diri menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan.

“Kalau kita tidak memahami keadaan dan perkembangan di rantau kita, saya rasa anak kita mungkin tidak dapat mengikuti atau bersaing dengan baik,” ujar beliau.

Beliau menambah bahawa pengalaman di luar negara juga dapat meningkatkan keyakinan belia untuk meneroka kerjaya antarabangsa, meskipun mereka memilih untuk bekerja di Singapura.

Sekalipun mereka memilih untuk berkhidmat di Singapura, kemahiran sedemikian tetap relevan kerana mereka bakal berurusan dengan rakan kongsi, pembekal dan syarikat multinasional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber, menjelaskan bahawa China dipilih sebagai destinasi kerana kemajuan pesatnya dalam sektor AI dan inovasi digital.

Lawatan itu merangkumi kunjungan ke syarikat dan pusat teknologi, sesi dialog bersama pemain industri serta pertukaran budaya.

Antara lokasi yang dikunjungi termasuk GAC AION, yang memberi tumpuan kepada pembinaan kenderaan elektrik, Sino-Singapore Guangzhou Knowledge City, sebuah kerjasama antara Singapura dengan China, serta Laihua, yang mengkhusus dalam teknologi AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (depan), bergambar bersama para pelajar dan pemain industri selepas sesi dialog di China-Singapore Smart Park.
Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber (depan), bergambar bersama para pelajar dan pemain industri selepas sesi dialog di China-Singapore Smart Park. - Foto BH oleh EVA ADRIANA AZMI
Para pelajar meneroka Guangzhou Knowledge City, sebuah projek kerjasama antara Singapura dengan China yang memberi tumpuan kepada inovasi, teknologi dan pembangunan bandar mampan.
Para pelajar meneroka Guangzhou Knowledge City, sebuah projek kerjasama antara Singapura dengan China yang memberi tumpuan kepada inovasi, teknologi dan pembangunan bandar mampan. - Foto BH oleh EVA ADRIANA AZMI

Para pelajar turut didedahkan kepada teknologi dron dan pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara vertikal (eVTOL) menerusi lawatan ke Yingwu Intelligent Technology.                       

Para peserta diberi pendedahan kepada teknologi pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara vertikal (eVTOL) semasa lawatan ke Yingwu Intelligent Technology.
Para peserta diberi pendedahan kepada teknologi pesawat elektrik yang boleh berlepas dan mendarat secara vertikal (eVTOL) semasa lawatan ke Yingwu Intelligent Technology. - Foto BH oleh EVA ADRIANA AZMI

Sepanjang lawatan itu, para pelajar turut dibimbing tiga karyawan Mendaki yang menjadi mentor mereka.

Encik Feroz berkata lawatan itu memberi peluang kepada para pelajar untuk melihat sendiri perkembangan teknologi dan memahami bagaimana negara lain memanfaatkannya.

“Melihat, merasai dan bertanya soalan” merupakan antara aspek penting dalam pembelajaran sedemikian, katanya.

Beliau berharap pengalaman itu dapat meluaskan minda para pelajar dan memberi mereka keyakinan untuk menceburi bidang baharu tanpa rasa takut.

Dalam pada itu, Encik Zaqy berkata lawatan ke China itu merupakan langkah pertama dalam usaha Mendaki memperluas peluang pendedahan antarabangsa kepada belia Melayu/Islam.

Program seterusnya yang dirancang bakal membawa pelajar ke Jakarta, Indonesia, pada hujung tahun ini (2026).

Secara keseluruhan, program itu mempunyai matlamat membawa sekitar 1,500 belia ke destinasi serantau dalam tempoh tiga tahun.

Mendaki akan bekerjasama dengan rakan korporat dan agensi seperti Majlis Belia Kebangsaan (NYC) untuk menyokong usaha itu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti