Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki jangkau lebih 86,000 warga pada 2022

Bukti keberkasanan strategi yang dilakarkan
Jun 17, 2023 | 9:03 PM
BERI KEMAS KINI: Encik Zaqy Mohamad, dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-34 Mendaki pada Sabtu berkata program-program Mendaki kini lebih disertai kerana ia lebih dekat dengan masyarakat.
BERI KEMAS KINI: Encik Zaqy Mohamad, dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-34 Mendaki pada Sabtu berkata program-program Mendaki kini lebih disertai kerana ia lebih dekat dengan masyarakat. - Foto MENDAKI

Yayasan Mendaki menjangkau lebih 86,000 individu dan penerima bantuan sepanjang 2022 – peningkatan berbanding lebih 73,000 pada tahun sebelumnya, ekoran usaha lebih mendekatkan diri kepada masyarakat.

Dengan cogan kata Mendaki Everywhere (Mendaki Di Mana-Mana), badan itu, yang membelanjakan $36 juta bagi pelbagai program yang ia jalankan pada 2022 naik daripada $29.3 juta pada 2021, telah menubuhkan 11 rangkaian M³@Bandar yang membolehkannya mendekati lebih 80 peratus masyarakat Melayu/Islam di sini.

Demikian dinyatakan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-34 Mendaki pada Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang juga pengerusi Mendaki.

“Ia adalah satu peningkatan yang tinggi dan ini menunjukkan program-program kita lebih disertai kerana Mendaki hari ini mempunyai pusat satelit untuk menyokong 11 M³@Bandar di merata Singapura,” kata Encik Zaqy yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki.

“Apabila kita mempunyai pusat-pusat satelit strategik di mana kita dapat mendekati lebih ramai masyarakat, itu membolehkan program kita menjadi lebih mudah diakses dan agar orang ramai dapat mengikuti program yang dijalankan,” tambahnya.

Mendaki mempunyai lima pusat satelit di serata Singapura dan tiga ruang belia di kolej-kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang menempatkan Penasihat Penjagaan yang memberi bimbingan dan bantuan kerjaya.

Pada 2022, Penasihat Penjagaan itu menguruskan lebih 17,000 kes, satu peningkatan 42 peratus berbanding 2020.

Hampir 8,400 pelajar sertai program pendidikan Skim Tuisyen Mendaki (MTS) pada 2022, satu peningkatan sekitar 11 peratus berbanding 2020.

Program KelasMateMatika (KMM) yang mempersiap murid prasekolah bagi Darjah 1 pula telah menjangkau kepada lebih 900 kanak-kanak dan 800 ibu bapa, berbanding lebih 400 kanak-kanak dan 300 ibu bapa pada 2020.

Mengenai Pejabat Penilaian Program (PEO) yang ditubuhkan Mendaki pada 2021, Encik Zaqy berkata kajian yang dijalankan mendapati lapan dalam 10 murid yang sertai KMM tidak perlukan program sokongan pembelajaran di Darjah 1.

Pada 2022, Mendaki mengagihkan $45.2 juta kepada pelajar dalam bentuk subsidi yuran tuisyen pengajian peringkat tinggi (TTFS) dan pinjaman pembelajaran. Sejumlah $43 juta dalam bentuk TTFS diberikan kepada hampir 10,000 pelajar tahun lalu, lebih rendah berbanding $45 juta yang diberikan kepada lebih 11,000 pelajar pada 2021.

Encik Masagos menerangkan bilangan lebih rendah itu disebabkan bilangan pelajar yang lebih kecil.

Mendaki turut mengumumkan empat individu baru yang dipilih menjadi anggota Lembaga Pengarah badan itu.

Mereka ialah Encik Ahmed Meeran Mohamed Bilal daripada Persekutuan Muslim India (FIM); Encik Muhammad Hairudin Abdul Hamid daripada Perdaus; Cik Nur Khadijah Ramli daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas); dan Encik Rohan Nizam Basheer daripada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg