SATU skim biasiswa bernilai $140,000, yang dilancarkan Yayasan Mendaki dan syarikat bioteknologi MiRXES akan membolehkan pelajar sarjana muda dan possiswazah Melayu/Islam melanjutkan pelajaran mereka dalam sains hayat dan bioperubatan.
Melalui biasiswa Mendaki-MiRXES ini, pelajar yang layak juga akan menerima peluang latihan dan pekerjaan dengan MiRXES selepas tamat pengajian.
MiRXES sebuah syarikat bioteknologi yang memberi tumpuan kepada memperbaiki dan menyelamatkan nyawa dengan ujian pengesanan awal penyakit berkuasa RNA.
Mendaki dan MiRXES dalam kenyataan bersama berkata biasiswa itu akan diberikan kepada dua pelajar sarjana muda dan dua pelajar possiswazah yang masing-masing mengikuti ijazah sarjana muda dan sarjana di universiti autonomi tempatan.
Setiap pelajar sarjana muda akan menerima $10,000 setahun selama empat tahun dan setiap pelajar possiswazah menerima $15,000 setahun selama dua tahun.
Ini merupakan biasiswa possiswazah pertama yang ditawarkan oleh Mendaki dan MiRXES.
Mengulas mengenai biasiswa tersebut, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata kerjasama Mendaki dan MiRXES merupakan langkah pertama untuk menarik perhatian lebih ramai pelajar dalam menceburi sektor pertumbuhan.
"Masyarakat Islam di sini telah mencapai kemajuan luar biasa selama bertahun-tahun dan kami telah melihat ramai antara pelajar yang memilih untuk menyambung pelajaran mereka.
"Pada masa akan datang, Mendaki berharap dapat terus menarik perhatian rakan kongsi industri ketika kita memberi tumpuan kepada biasiswa yang akan merangkumi elemen bimbingan, latihan amali dan kerjaya dalam sektor pertumbuhan seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM)," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki.
Bagi MiRXES, biasiswa tersebut adalah lanjutan daripada usahanya untuk memperkembangkan tenaga kerja sains bioperubatan.
Melahirkan perasaan gembira dengan kolaborasi itu, Dr Lihan Zhou, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MiRXES berharap program ini dapat meningkatkan bakat tempatan.
"Kami berharap biasiswa-biasiswa ini akan memberi manfaat kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, menggalakkan kepelbagaian dalam bakat tempatan kita dan membolehkan Singapura menjadi masyarakat inklusif.
"Kami percaya manusia adalah aset dan kekuatan utama kami, dan kami mahu membina tempat tinggal di mana semua rakyat Singapura mempunyai peluang yang sama untuk yakin dan mempunyai impian ke arah masa depan yang lebih baik bersama," ," katanya
"Masyarakat Islam di sini telah mencapai kemajuan yang luar biasa selama bertahun-tahun dan kami telah melihat ramai antara pelajar yang memilih untuk menyambung pelajaran mereka. "Pada masa akan datang, Mendaki berharap dapat terus menarik perhatian rakan kongsi industri ketika kita memberi tumpuan kepada biasiswa yang akan merangkumi elemen bimbingan, latihan amali dan kerjaya dalam sektor pertumbuhan seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).'' - Encik Zaqy Mohamad, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg