MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berada di Singapura untuk lawatan selama tiga hari, yang bermula hari ini (17 April).
Lawatan beliau adalah atas undangan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika di sini, Datuk Onn akan bertemu Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Datuk Onn juga akan bertemu Dr Balakrishnan; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman; dan Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.
Datuk Onn akan menghadiri Sidang Puncak Pemimpin Air Minggu Air Antarabangsa Singapura 2022 dan melawat tapak penghujung Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura di Woodlands North.
Beliau akan turut mengadakan perbincangan dengan agensi tertentu Singapura berhubung latihan teknikal dan vokasional, pembangunan kemahiran dan perumahan awam.
Datuk Onn ditemani oleh anggota Jawatankuasa Eksekutif Negeri Johor dan pegawai daripada kerajaan negeri Johor semasa lawatannya di sini, tambah kenyataan MFA itu.
Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac lalu, selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Machap pada pilihan raya negeri Johor bulan itu.
Beliau menggantikan mantan menteri besar Datuk Seri Hasni Mohammad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg