MENTERI Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin, menjelaskan pada Khamis (2 Jun) bahawa beliau optimistik Malaysia akan dapat mengurangkan harga domestik ayam dan menyambung semula langkah mengeksport ayam ke Singapura tidak lama lagi.

Ketika ditemui wartawan sewaktu kunjungan empat harinya ke Singapura, beliau menjelaskan bahawa larangan itu tidak mungkin berlarutan selama beberapa bulan.

"Kami menghargai hubungan dua hala bersama Singapura. Ini bukanlah keputusan yang mudah dibuat.

"Justeru kami berharap ia adalah bagi sementara waktu sehingga keadaan bekalan dan harga ayam ini mantap," katanya.

Larangan eksport ayam yang bermula pada 1 Jun itu telah menaikkan lagi harga dan membawa pada kekurangan bekalan ayam segar di Singapura. Negara ini bergantung pada Malaysia bagi sepertiga bekalan ayamnya.

Sejak beberapa hari lalu, pasar raya dan pasar di sini ketandusan ayam segar kerana ramai yang bergegas membelinya sebelum larangan berkuatkuasa.

Ramai yang beratur di beberapa pusat penjaja dan tempat makan terkenal juga. Ini membuatkan penjaja dan pemilik restoran berkata mereka perlu tutup kedai sementara waktu kerana tidak dapat menggunakan ayam beku.

Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan langkah ini minggu lalu bagi melarang eksport hingga 3.6 juta ayam sebulan, dalam usaha memantapkan bekalan domestik selepas harga ayam meningkat.

Malaysia telah meletakkan siling runcit sebanyak RM8.90 ($2.78) bagi setiap kilogram ayam tetapi harganya telah meningkat hingga RM13 bagi setiap kilogram di beberapa tempat, lapor beberapa media seberang.

Encik Khairy yang berada di Singapura sebagai Felow Program Pertukaran Lee Kuan Yew ke-71 berkata, isu rantaian bekalan telah menjadikan situasi lebih sukar dan lebih mahal untuk mendapatkan makanan ayam.

Beliau menambah isu iklim juga telah menjejas masa yang diperlukan untuk menternak ayam, membawa pada keadaan sangat sukar bagi Malaysia dengan kekurangan bekalan dan harga yang tinggi.

"Sedang mana-mana negara sudah tentunya mementingkan langkah menjaga keperluan makanan mereka sendiri, kami juga menyedari akan tanggungjawab kami sebagai pengeksport kepada negara jiran termasuk Singapura," ujarnya.

Katanya lagi, situasinya kian diperbaiki dengan usaha bekerjasama dengan penternak ayam di Malaysia bagi usaha menambah pengeluaran dan mendapatkan gantian bekalan makanan ayam lebih murah pada masa terdekat.

"Sejurus perkara ini terhurai sendiri, dan kita mengharapkan ia akan dapat dihuraikan segera...pastinya kita berharap dapat menyambung eksport ayam termasuk ke Singapura," tambahnya.

Encik Khairy yang tiba di sini pada Selasa telah bertemu Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam kalangan menteri di Singapura.

Beliau juga menyampaikan ucapan di acara Sidang Puncak Asia Tech x Singapore. .

.