Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meow... Himpunan kucing menyeronokkan di East Coast setiap Sabtu

May 28, 2023 | 5:30 AM
‘CAT WHISPERER’:  Encik Khairizal Mohd Said menghimpunkan pemilik kucing di pantai East Coast setiap Sabtu. Beliau bergambar bersama dua ‘teman baiknya’ - Bumblebee dan Jerry (di bahunya).
‘CAT WHISPERER’:  Encik Khairizal Mohd Said menghimpunkan pemilik kucing di pantai East Coast setiap Sabtu. Beliau bergambar bersama dua ‘teman baiknya’ - Bumblebee dan Jerry (di bahunya). - Foto-Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

TEPI pantai East Coast biasanya menjadi lokasi pilihan ramai untuk berpiknik, beriadah dan juga meluangkan masa bersama orang tersayang pada hujung minggu.

Namun, sekitaran terbuka dengan buaian angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa itu turut menarik minat golongan ‘khas’ yang sudah dianggap ramai bak sebahagian daripada keluarga sendiri, iaitu kucing-kucing peliharaan.

Malah, mereka juga ada port sendiri di tepi pantai East Coast yang dikongsi dengan kucing dan ‘tuan’ milik kucing lain.

Ruang terbuka antara tempat letak kereta C4 dan D1 akan dipenuhi pemilik kucing – dan juga mereka yang ingin melihat dan bermain dengan kucing – setiap Sabtu dari 5 petang hingga 9 malam.

Memang meow-nyeronokkan.

Perhimpunan tersebut diterajui sejak 2017 oleh ‘cip’ pemilik kucing, Encik Khairizal Mohd Said, 55 tahun, yang turut dipanggil ramai sebagai cat whisperer atau tukang bisik kucing, disebabkan kemahiran serta pengetahuannya mengenai haiwan peliharaan itu.

Encik Khairizal, yang lebih mesra dipanggil Eddie, biasanya akan menyertai perhimpunan tersebut setiap Sabtu dengan ‘teman baiknya’ – dua kucing parsi bernama Bumblebee dan Jerry.

Menurut Encik Khairizal, sekitar 50 orang akan menyertai perhimpunan tersebut setiap hujung minggu.

“Sebenarnya pada 2017, saya saja bawa kucing-kucing saya ini ambil angin di padang ini. Perlahan-lahan teman-teman saya yang ada kucing pun ikut sekaki.

“Sejak itu lebih ramai mula tahu mengenai aktiviti ini dan mereka pun turut serta, terutama sekali apabila dah tular di media sosial,” ujarnya, yang kini melakukan kerja bebas.

Selain menghimpunkan individu yang mempunyai minat serupa, Encik Khairizal juga mengadakan ‘sesi konsultasi’ percuma jika pemilik mempunyai sebarang masalah dengan kucing mereka.

Meskipun dipanggil cat whisperer, Encik Khairizal, yang sejauh ini pernah menjaga sekitar 20 kucing miliknya sejak berusia 15 tahun, berkata beliau bukan pakar.

“Kalau nak pergi doktor binatang memang mahal, ada juga pemilik kucing yang tak mampu. Apabila kucing ada masalah, mereka tak dapat handle, dan akhirnya kucing itu mereka biarkan di luar.

“Jadi saya kongsi maklumat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan saya menjaga kucing sendiri. Tapi saya bukan pakar, bukan doktor, bukan pun cat whisperer sepertimana yang orang gelarkan.

“Saya cuma individu biasa yang minat haiwan peliharaan, terutama kucing, dan ingin kongsi pengetahuan saya,” kata Encik Khairizal yang kini mengendalikan akaun TikTok dan Instagram myloverlycats yang diharap menjadi rujukan pemilik kucing.

Beliau, yang kini mempunyai lapan ekor kucing yang dijaganya di flat Marine Terrace, tinggal bersama isterinya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan.

Dua anak mereka berusia 21 dan 27 tahun juga menetap bersama.

Katanya: “Saya harap lebih ramai pemilik kucing jaga dan sayang kucing mereka betul-betul. Anggap mereka sebahagian daripada keluarga kita.

“Kita boleh disiplin anak-anak, mengapa tidak kita jaga dan disiplin kucing kita juga,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg