AGENSI bantuan bencana Singapura, Mercy Relief, akan bekerjasama dengan Program Bantuan Luar Bandar (NRSP) di Pakistan untuk menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang paling terjejas di wilayah Sindh di Pakistan akibat banjir teruk di kawasan itu.
Menurut kenyataannya hari ini (9 September), Mercy Relief berkata mereka akan menghulurkan bantuan dalam bentuk makanan dan kain tarpaulin (kain kalis air).
Pengarah Eksekutif Mercy Relief, Cik Angelina Ong, berkata mereka amat sedih melihat kemusnahan yang disebabkan banjir di Pakistan itu.
"Kami bersatu dengan mangsa yang terjejas.
"Bersama rakan kerja kami di sana, NRSP, keutamaan pertama kami adalah untuk memenuhi keperluan segera mangsa bagi makanan dan tempat berteduh sementara.
"Masyarakat yang terjejas akan terus berdepan dengan cabaran dan kami merayu kepada orang ramai untuk turut menghulurkan bantuan menerusi derma mereka," ujarnya.
Mercy Relief menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak $100,000 dari 8 September hingga 8 Oktober untuk membantu mangsa banjir di Pakistan itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menderma menerusi: - Laman web https://www.giving.sg/mercy-relief/pakistanflood2022 - Laman web https://give.asia/campaign/pakistan-flood-relief-2022#/ - Laman web https://www.simplygiving.com/appeal/pakistanfloodrelief2022 - Laman web Mercy Relief https://www.mercyrelief.org/donate/ - Akaun bank DBS Current Account Mercy Relief 054-900741-2, dengan menyatakan "Pakistan Flood Relief 2022" dalam ruangan komen. - Cek pangkah kepada "Mercy Relief Limited" dan dikirimkan kepada Blk 160 Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568, Singapore 310160. Nyatakan "Pakistan Flood Relief 2022", nama penderma dan alamat e-mel di belakang cek.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg