MEREKA yang layak menerima suntikan penggalak kini boleh ke pusat vaksinasi yang menawarkan suntikan penggalak Moderna, tanpa perlu menempah janji temu.
Ini kerana terdapat lebih banyak suntikan penggalak Moderna tersedia bagi bulan ini, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, kelmarin.
Di samping itu, masa pemantauan dan menunggu selama 30 minit bagi mereka yang menerima suntikan penggalak akan dikurangkan kepada 15 minit.
"Data kami menunjukkan kadar kejadian yang sangat rendah bagi tindak balas buruk akut selepas mengambil suntikan penggalak, jadi ini akan meningkatkan lagi kemampuan kami dalam memberi suntikan penggalak," kata Encik Ong semasa sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.
Beliau menambah suntikan penggalak adalah penting, memandangkan ia memberi perlindungan tambahan terhadap varian Omicron yang lebih mudah menular.
Satu kajian yang dijalankan di United Kingdom mendapati varian Omicron baru ini dapat menghakis keberkesanan perlindungan vaksin Pfizer-BioNTech.
Kajian itu mendedahkan bahawa sebulan selepas seseorang menerima dos kedua vaksin Pfizer, keberkesanannya terhadap jangkitan daripada varian Omicron adalah pada 90 peratus.
Menurut Encik Ong, sambil memetik kajian tersebut, keberkesanan itu kemudian merosot kepada sekitar 50 peratus selepas tiga bulan, dan kemudian 35 peratus selepas empat bulan dan seterusnya.
"Jadi hakisan perlindungan ini agak cepat," tambahnya.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa dua minggu selepas menerima suntikan penggalak, keberkesanan vaksin terhadap jangkitan daripada Omicron meningkat kepada 75 peratus, dan ini sesuatu yang menggalakkan kerana ia bermakna suntikan penggalak dapat memainkan peranannya.
Encik Ong berkata bahawa peningkatan kepada 75 peratus merujuk kepada perlindungan terhadap jangkitan simptomatik, dan perlindungan suntikan penggalak terhadap penyakit teruk mungkin lebih tinggi.
"Itulah sebabnya vaksinasi akan terus menjadi nadi dalam usaha tindak balas kami. Kami harus memastikan mereka yang belum divaksinasi, mendapat vaksinasi mereka."
Terdapat sekitar 160,000 penduduk di sini yang masih belum mendapatkan vaksinasi lengkap, dan sekitar 40,000 daripada mereka adalah warga emas berusia 60 tahun ke atas, yang merupakan golongan berisiko tinggi untuk jatuh sakit teruk, memerlukan rawatan rapi atau sedang nazak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg