Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Merusuh: 14 penghuni Singapore Boys' Home ditahan polis

Sep 29, 2018 | 11:20 AM
Pegawai polis berkelengkapan pakaian rusuhan keluar dari Singapore Boys' Home di Jurong West pada Jumaat (28 Sep) petang. Dua kakitangan lelaki rumah tersebut dan seorang pegawai polis bantuan dihantar ke Hospital Ng Teng Fong kerana mengalami kecederaan ringan.
Pegawai polis berkelengkapan pakaian rusuhan keluar dari Singapore Boys' Home di Jurong West pada Jumaat (28 Sep) petang. Dua kakitangan lelaki rumah tersebut dan seorang pegawai polis bantuan dihantar ke Hospital Ng Teng Fong kerana mengalami kecederaan ringan. - Foto BH JONATHAN CHOO

POLIS menahan 14 penghuni Singapore Boys' Home kerana merusuh pada petang Jumaat (28 Sep).

Dua kakitangan lelaki rumah tersebut dan seorang pegawai polis bantuan dihantar ke Hospital Ng Teng Fong kerana mengalami kecederaan ringan.

Polis berkata mereka menerima panggilan meminta bantuan pada 5.51 petang.

Akhbar The Straits Times tiba di luar rumah di Jurong itu sekitar 7 malam dan melihat lebih 15 kenderaan polis dan 10 bas polis di situ.

Rumah itu kediaman bagi remaja yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga. Ia menempatkan remaja lelaki berisiko berusia antara 12 hingga 21 tahun yang mungkin juga mengalami masalah dengan undang-undang.

Encik James Tan, 70 tahun, sedang menunggang basikal di Jurong West Street 24 apabila beliau mendengar jeritan berhampiran pintu utama rumah itu.

"Pada kira-kira 6 petang, ketika saya berbasikal dekat pintu itu, saya melihat pegawai polis bergegas masuk. Kedengaran pekikan budak lelaki di dalam premis itu dan ia nampaknya ditujukan kepada pegawai polis," katanya. Tetapi Encik Tan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan dan beliau terus berbasikal.

Kemudian pada 6.30 petang, Encik Tan menyedari keadaan itu lebih serius apabila beliau melihat banyak lampu menyala dari kenderaan polis yang diletakkan di luar rumah tersebut.

Jalan menuju Jurong West Street 24 pula disekat polis.

Seorang lagi saksi, yang memberi namanya hanya sebagai Encik Hazli, 42 tahun, berkata beliau terpaksa mengambil jalan lain untuk pergi ke masjid berdekatan.

Polis sedang menyiasat kejadian itu.

Kali terakhir banyak kenderaan polis dilihat di rumah itu ialah pada September 2016, apabila 26 penghuninya ditangkap kerana perhimpunan haram.

Dalam kejadian itu, penduduk di estet HDB berhampiran melaporkan mereka mendengar beberapa kumpulan budak lelaki memekik kata-kata kesat dan bunyi ketukan kuat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg