Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meski kos bahan mentah dan tenaga kerja naik, tidak hambat buka cawangan baru

Sep 20, 2022 | 5:30 AM
PENUHI SELERA: Kakitangan di Boleh Boleh! cawangan Pusat HarbourFront bersama beberapa sajian yang ditawarkan di gerai-gerai di sana. - Foto FEI SIONG GROUP
PENUHI SELERA: Kakitangan di Boleh Boleh! cawangan Pusat HarbourFront bersama beberapa sajian yang ditawarkan di gerai-gerai di sana. - Foto FEI SIONG GROUP -

MESKIPUN terpaksa menunggu sehingga enam bulan bagi permohonan sijil halal mereka diluluskan, namun pemilik atrium makanan Boleh Boleh!, tetap memberanikan diri untuk membuka cawangan ketiganya di Pusat HarbourFront di bawah jenama yang sama.

Boleh Boleh! yang dimiliki syarikat makanan dan minuman (F&B) Fei Siong Group, mempunyai dua cawangan serupa di Clementi Mall dan Eastpoint Mall.

Malah syarikat itu mengakui bahawa mendapatkan kakitangan Muslim (bagi memenuhi sebahagian kriteria pensijilan halal) agak sukar memandangkan terdapat permintaan hebat bagi pekerja Muslim dari syarikat F&B lain juga.

Semasa ditemu ramah wartawan, Pengarah Eksekutif Fei Siong Group, Encik Tan Kim Leng, mengakui cabaran yang perlu dihadapinya untuk memastikan kelulusan permohonan pensijilan halal bagi gerai-gerainya.

"Kami sudah lama rancang buka cawangan terbaru ini dan sekitar akhir Julai lalu ia dilancarkan.

"Ini kerana kami yakin dengan permintaan yang akan rancak apabila ekonomi dibuka semula.

"Dan ternyata respons yang diberi amat baik kepada cawangan terbaru ini - dengan para pelanggan terdiri daripada penduduk setempat dan juga dari luar negara yang menaiki feri dari sini," ujarnya.

Beliau menambah bahawa pihaknya sudah bersedia dengan khidmat penghantaran yang meluas sekiranya berlaku sekatan langkah keselamatan lagi.

Namun beliau akur menjalankan perniagaan atrium yang mampu menempatkan sehingga 300 pelanggan pada satu-satu masa amat mencabar apatah lagi dengan inflasi yang meningkat.

Beliau anggarkan pihaknya terpaksa peruntukkan sehingga 20 peratus lebih tinggi bagi tenaga kerja dan sehingga 20 peratus bagi bahan-bahan mentah.

Sukarnya mendapatkan tenaga kerja Muslim jelas merupakan satu faktor yang menjejas permohonan pensijilan halal mereka.

Namun Encik Tan berkata pihaknya agak bernasib baik kerana mempunyai pasukan halal dan jabatan sumber manusia yang peka dan saling membantu memantau pasaran tenaga kerja.

Pada masa yang sama ia kini mengorak langkah untuk menyewakan gerai-gerainya kepada pemilik Muslim dan syarikat popular yang mempunyai sijil halal.

"Kami juga lebih fleksibel untuk dapatkan kakitangan sambilan bagi mengendalikan perniagaan kami, terutamanya pekerja Muslim setempat.

"Dan kami juga berkongsi kepada kakitangan Muslim dan bukan Muslim kami berkaitan keperluan isu halal," tambahnya.

Boleh Boleh! merupakan salah satu jenama yang berusaha menyajikan sajian yang boleh dinikmati pelanggan Muslim di bawah syarikat gergasi Fei Siong Group.

Jenama lain di bawah syarikat itu yang menyajikan sajian halal ialah Encik Tan, Pao Pao dan Sedap Noodle.

Boleh Boleh! menyajikan sajian kegemaran setempat dan Asia bagi memenuhi cita rasa ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg