
KEMENTERIAN Ehwal Luar (MFA) menyatakan tidak ada laporan mengenai rakyat Singapura yang terjejas dalam serangan di Baitulmakdis baru-baru ini.
Singapura melahirkan kebimbangan dengan peningkatan keganasan di Baitulmakdis dan Tebing Barat.
MFA mengutuk serangan keji di luar rumah ibadah Yahudi di Baitulmakdis pada Jumaat lalu yang mengakibatkan banyak korban nyawa.
"Kami juga melahirkan rasa sedih ke atas kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan kecederaan kepada orang awam Palestin di Jenin pada 26 Januari 2023. Kami menggesa semua pihak untuk memberikan pengekangan maksimum dan mengurangkan ketegangan bagi mengelak kehilangan nyawa orang awam lagi. Kedua-dua rakyat Israel dan Palestin berhak hidup dalam aman dan selamat,'' ujar kenyataan MFA semalam.
Seorang lelaki bersenjata Palestin menembak mati tujuh orang di pinggir Baitulmakdis, dan satu lagi serangan tembakan di bandar itu mencederakan dua orang, menurut agensi berita Reuters.
Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin maut selepas tentera rejim Israel membuat serbuan di Tebing Barat.
Ia merupakan hari berdarah buat warga Palestin di Tebing Barat ketika serbuan diadakan di kem pelarian yang sesak di bandar Utara Jenin, menurut agensi berita.
Rakyat Singapura di Israel dinasihatkan supaya berhati-hati, memantau berita tempatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Singapura yang melancong ke Israel amat digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg jika mereka belum berbuat demikian.
Rakyat Singapura di Israel yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Singapura di Tel Aviv atau Pejabat Tugas MFA 24 jam di Kedutaan Singapura di Tel Aviv beralamat di 28 HaArba'a Street Menara Selatan, Tingkat 19 Tel Aviv 6473926 Israel; Tel: +972-3-7289334; Faks: +972-3-7289340; E-mel: singemb_tlv@mfa.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg