Topik diikuti
Pergi ke BHkuMHA: Alice Huang dilarang masuk semula ke S’pura selepas beri maklumat tidak tepat kepada polis
MHA: Alice Huang dilarang masuk semula ke S’pura selepas beri maklumat tidak tepat kepada polis
MHA: Alice Huang dilarang masuk semula ke S’pura selepas beri maklumat tidak tepat kepada polis
Pihak berkuasa Singapura mendapati bukti yang diterima setakat ini tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa bekas pengarah Megaspeed, Cik Alice Huang, membuat pengisytiharan tidak tepat berhubung pembelian pelayan dan kesalahan berkaitan.
Ini disebabkan maklumat yang diterima daripada Amerika Syarikat dan bidang kuasa lain masih terhad.
Namun, beliau telah diberikan amaran keras dan dilarang memasuki semula Singapura selepas polis menilai bahawa beliau telah memberikan maklumat tidak tepat bagi memperkecilkan peranannya dalam Megaspeed.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 12 November.
Cik Huang, yang didakwa merupakan seorang pengintip China dan dikaitkan dengan hubungan sulit bersama ketua pegawai eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang, telah disiasat oleh polis dan Kastam Singapura.
Ini sebagai sebahagian daripada siasatan lebih besar terhadap beberapa syarikat, termasuk firma pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Megaspeed, serta pegawai kanan mereka.
MHA berkata siasatan yang bermula pada Februari 2025 itu tidak dijalankan atas permintaan mana-mana negara atau entiti berdaulat.
Menurut MHA, polis dan Pejabat Peguam Negara (AGC) telah meminta bantuan pihak berkuasa Amerika dalam satu pertemuan pada 7 Julai 2025 supaya pembekal pelayan berpangkalan di Amerika, Supermicro, memberikan kerjasama dalam siasatan.
Namun, Singapura telah menerima “maklumat atau bantuan yang terhad” berhubung Supermicro.
Ini meskipun permintaan berulang kali telah dikemukakan kepada Jabatan Kehakiman dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika sejak September 2025, tambah kementerian itu.
MHA berkata Cik Alice Huang, yang juga dikenali sebagai Huang Le, disiasat kerana disyaki terlibat dalam kemungkinan kesalahan di Singapura, memandangkan kedudukannya dahulu sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengerusi Megaspeed.
Beliau yang menetap di Hong Kong tidak berpangkalan di Singapura dan tidak disiasat atas kesalahan pengintipan, tambah kementerian itu.
Selepas berunding dengan AGC, polis membuat kesimpulan pada Februari bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk menentukan sama ada Cik Huang melakukan sebarang kesalahan berkaitan kemungkinan pengisytiharan tidak tepat yang menjadi subjek siasatan terhadap Megaspeed.
MHA berkata polis memulangkan pasport Huang pada 26 Februari dan beliau meninggalkan Singapura pada hari yang sama.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa kes-kes lain sebelum ini pernah dikendalikan dengan cara yang serupa.
MHA menambah bahawa siasatan polis terhadap Megaspeed dan enam individu lain masih berjalan. Tiada seorang pun daripada enam individu itu berada di Singapura sejak siasatan bermula.
MHA menegaskan bahawa Singapura komited untuk mempertahankan reputasinya sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan boleh diharap.
“Pemerintah tidak akan membenarkan syarikat atau individu menyalahgunakan persekitaran perniagaan Singapura untuk melakukan penipuan atau amalan tidak jujur,” menurut kementerian itu.
Ia menambah bahawa Singapura akan menjalankan siasatannya sendiri secara bebas, selaras dengan undang-undang negara dan berdasarkan bukti yang tersedia.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa asing jika sesuai, dan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas apabila bukti menunjukkan tindakan sedemikian wajar diambil,” tambah MHA.
Megaspeed kembali mendapat perhatian pada akhir Oktober selepas laporan muncul bahawa pihak berkuasa Amerika sedang memantau rapat bekas eksekutif syarikat itu, Cik Alice Huang, atas syak wasangka bahawa beliau membantu China mengelak kawalan eksport Amerika terhadap cip kecerdasan buatan (AI) termaju.
Beliau merupakan pengarah dan pengarah urusan Megaspeed dari Mac hingga November 2023.
Cik Huang dilaporkan pernah menjalin hubungan sulit dengan CEO Nvidia, Encik Jensen Huang.
Pada 8 November, syarikat pengeluar cip itu berkata ia sedang menyiasat sama ada ketuanya menjadi sasaran operasi perisikan asing.
Dalam satu kenyataan lewat pada 12 November, Nvidia berkata Encik Jensen Huang telah meletak jawatan sebagai CEO, presiden dan anggota lembaga pengarah syarikat itu.
Ketua pegawai kewangan Nvidia, Cik Colette Kress, akan mengambil alih sebagai CEO sementara sementara syarikat itu mencari pengganti tetap.
Pada 24 Jun 2025, Biro Industri dan Keselamatan Amerika telah menjalankan pemeriksaan pengesahan selepas penghantaran (post-shipment verification) di Megaspeed dengan kehadiran Cik Huang, menurut MHA.
“Pemeriksaan itu merupakan kali pertama Singapura mengetahui tentang minat Amerika terhadap Megaspeed dan Cik Huang,” menurut kementerian itu.
Ia menambah bahawa polis turut menemu ramah Cik Huang pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap Megaspeed.
Pasport beliau ditahan bagi memastikan beliau menghadiri sesi siasatan yang sedang dijalankan, memandangkan beliau tidak berpangkalan di Singapura.
Singapura minta maklumat daripada Amerika, bidang kuasa lain bagi bantu siasatan
Syarikat-syarikat yang disiasat telah membeli pelayan fizikal dan mengeksportnya melalui Singapura ke Malaysia tanpa memasuki pasaran Singapura, menurut MHA.
Polis sedang menyiasat sama ada pelayan tersebut kemudiannya dihantar dari Malaysia ke destinasi lain, bertentangan dengan pengisytiharan yang dibuat di Singapura.
MHA berkata bagi memastikan fakta sebenar, polis tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengisytiharan yang dibuat oleh syarikat-syarikat berkenaan di Singapura.
Sebaliknya, pihak berkuasa perlu mengesahkan pengisytiharan itu dengan maklumat dan rekod dari bidang kuasa lain, termasuk negara asal pelayan tersebut serta destinasi akhirnya.
“Oleh itu, Singapura telah meminta maklumat daripada Amerika dan bidang kuasa destinasi lain bagi membantu siasatan bebas kami,” menurut MHA.
Secara khusus, polis meminta maklumat berkaitan Supermicro, yang memberikan “kerjasama terhad”.
Polis dan AGC telah membangkitkan perkara itu dengan pihak berkuasa Amerika dalam satu pertemuan pada Julai 2025 dan meminta bantuan mereka untuk mendapatkan kerjasama Supermicro, menurut MHA.
“Sejak September 2025, Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengulangi permintaan ini beberapa kali kepada Jabatan Kehakiman dan FBI” menurut MHA.
“Meskipun permintaan berulang kali telah dibuat, Singapura setakat ini hanya menerima maklumat atau bantuan yang terhad berhubung syarikat tersebut.”
MHA turut menjelaskan bahawa meskipun Singapura tidak menguatkuasakan kawalan eksport unilateral yang dikenakan oleh negara lain, pihak berkuasa menjangkakan semua syarikat yang beroperasi di sini mengambil kira peraturan sedemikian dalam kegiatan perniagaan antarabangsa mereka.
MHA menambah: “Singapura tidak akan bertolak ansur dengan syarikat yang menggunakan kaitan mereka dengan Singapura untuk mengelak atau melanggar kawalan eksport negara lain melalui penipuan atau amalan tidak jujur.
“Jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang Singapura, kami akan mengambil tindakan tegas.”
Empat individu dan syarikat telah didakwa antara Februari 2025 dengan Julai 2026 atas kesalahan termasuk penipuan melalui pernyataan palsu berkaitan pembelian pelayan.
Pada 12 November, pengarah Megaspeed warga Singapura, Encik Tan Yong Pong, berkata syarikat itu telah melantik sebuah firma guaman Amerika untuk meneliti pematuhannya terhadap undang-undang kawalan eksport Amerika.
Firma itu juga akan menjalankan inventori menyeluruh unit pemprosesan grafik (GPU) Megaspeed serta mengesahkan secara bebas amalan pematuhan syarikat itu terhadap peraturan kawalan eksport.