Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHA bakal senarai etomidate sebagai dadah terlarang buat sementara

Turut hantar pegawai ke HSA bantu usaha selia, rawatan, pemulihan penyalah guna Kpod
Jul 30, 2025 | 5:15 PM
Singapora, MHA, etomidate, dadah terlarang, HSA, K. Shanmugam, vape, MOH
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (kiri); dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, bercakap dengan media pada 30 Julai berkenaan langkah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sebagai langkah sementara. - Foto ZAOBAO

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) akan menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) sebagai langkah sementara.

Ini sedang Kementerian Kesihatan (MOH) mempertimbangkan tindakan perundangan lain untuk menangani etomidate dan bahan lain yang serupa.

Pada masa yang sama, atas permintaan MOH, MHA juga akan menghantar pegawainya kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk membantu usaha penyeliaan, rawatan dan pemulihan penyalah guna etomidate, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam

Bercakap kepada media pada 30 Julai di luar satu acara SGSecure di Cineleisure di Orchard, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, berkata langkah sementara itu akan membolehkan pihak berkuasa menjalankan langkah penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penyalah guna etomidate.

“Kes yang anda dengar amat menyedihkan. Penyalah guna etomidate – mereka hilang kawalan atas diri mereka, mereka meletakkan diri mereka dalam kedudukan berbahaya, mereka menjadi terdedah, mereka menjadi zombi.

“Ramai penyalah guna adalah golongan muda. Mereka mempunyai masa depan yang cerah di hadapan mereka, dan mereka berisiko membuangnya, menjejas masa depan mereka dengan menyalahgunakan etomidate,” kata Encik Shanmugam.

Pengumuman Encik Shanmugam itu dibuat selepas Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada 20 Julai bahawa MOH dan MHA sedang bekerjasama untuk menyenaraikan etomidate di bawah MDA.

Etomidate diklasifikasikan sebagai racun dan dikawal di bawah Akta Racun.

Ia mempunyai penggunaan klinikal sebagai agen anestetik dan hanya dibenarkan dalam tetapan klinikal dan tertakluk kepada syarat yang ketat.

Di bawah akta ini, penyalah guna hanya dikenakan denda, manakala penjual pula berdepan dengan kemungkinan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Namun, jika disenaraikan sebagai dadah Kelas C, pengguna boleh tertakluk kepada penyeliaan dan penyertaan mandatori dalam program pemulihan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dadah, seperti apa yang dilalui oleh penyalah guna dadah.

Mereka yang melakukan kesalahan semula atau melakukan kesalahan serius lain juga boleh dipenjarakan sekurang-kurangnya setahun.

Encik Shanmugam membuat persamaan antara penyalahgunaan etomidate dengan penyalahgunaan dadah, sambil merujuk kepada laporan The Sunday Times pada 27 Julai tentang seorang ibu yang merungut tentang ketagihan anaknya terhadap rokok elektronik, atau ‘vape’, yang mengandungi etomidate, juga dikenali sebagai Kpod.

Encik Shanmugam berkata:

“(Ibunya) berasa tidak berdaya dan merasakan tiada cara untuk beliau membantu anaknya. Sekarang, ini adalah kerosakan yang dilakukan oleh ‘vape’ yang dicampur dengan etomidate dalam tempoh yang singkat. Ini bukan hanya satu cerita. Terdapat banyak kejadian seperti itu.”

Belia menambah: “Bagi isu dadah, jika kita mengambil pendekatan yang ringan, kesannya berlipat kali ganda seperti apa yang anda lihat dengan etomidate sekarang.”

Encik Shanmugam berkata bahawa ramai duta, menteri luar dan kumpulan aktivis telah memberitahunya bahawa undang-undang dadah Singapura keras dan pendekatan negara ini salah.

Mempertahankan pendirian keras Singapura, Encik Shanmugam berkata:

“Persekitaran siapa yang lebih selamat? Di manakah ibu bapa merasakan mereka boleh membesarkan anak-anak mereka dengan selamat?

“Jadi saya beritahu mereka, lihat, anda jaga diri anda. Kami (akan) menjaga rakyat Singapura dan rakyat Singapura menyokong dasar kami.”

Encik Shanmugam berkata usaha penguatkuasaan dan kesedaran melibatkan Kpod mungkin serupa dengan cara MHA menangani dadah, sambil menambah ia boleh bermula di sekolah dan dengan ibu bapa kerana pengguna ‘vape’ bermula pada usia yang lebih muda.

Beliau berkata:

“Pendidikan awam kami mengenai dadah juga bermula (pada usia) sangat muda dan ini adalah sesuatu yang kami perlu bincangkan dengan MOH. Dan MOH perlu memutuskan bagaimana mereka mahu menyampaikannya dan bagaimana mereka mahu melakukan pendidikan awam untuk kanak-kanak.”

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg