Pihak berkuasa Singapura mendapati bukti tidak mencukupi untuk menentukan sama ada bekas pengarah Megaspeed, Cik Alice Huang, membuat pengisytiharan tidak tepat berkaitan pembelian pelayan komputer atau melakukan kesalahan berkaitan.

Dapatan itu menyusuli siasatan yang dilancarkan pada Februari 2025.

Cik Huang, yang didakwa sebagai perisik China dan dikaitkan dengan hubungan sulit bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, sebelum ini disiasat polis dan Kastam Singapura.

Ini sebagai sebahagian daripada siasatan lebih luas terhadap beberapa syarikat, termasuk firma pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Megaspeed, serta pegawai utama mereka.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 12 November, Cik Huang, yang merupakan penduduk Hong Kong dan turut dikenali sebagai Huang Le, disiasat berhubung kemungkinan melakukan kesalahan di Singapura berdasarkan kedudukannya sebelum ini sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengerusi syarikat itu.

Kementerian itu menambah bahawa Cik Huang tidak berpangkalan di Singapura dan bukan disiasat atas kesalahan pengintipan.

Selepas berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), polis membuat kesimpulan pada Februari bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk menentukan sama ada Cik Huang melakukan sebarang kesalahan berkaitan kemungkinan pengisytiharan tidak tepat yang menjadi sebahagian daripada siasatan terhadap Megaspeed.

“Bagaimanapun, polis menilai bahawa Cik Huang telah memberikan maklumat yang diketahuinya tidak tepat kepada polis semasa siasatan dijalankan, dengan tujuan memperkecilkan peranannya dalam Megaspeed,” menurut MHA.

Kementerian itu menambah bahawa Cik Huang telah diberikan amaran keras dan dilarang memasuki semula Singapura.

MHA turut menyatakan bahawa kes-kes lain sebelum ini pernah ditangani dengan cara yang serupa.

Polis memulangkan pasport Cik Huang pada 26 Februari dan beliau meninggalkan Singapura pada hari yang sama, menurut MHA.

Kementerian itu menambah bahawa siasatan polis terhadap Megaspeed dan enam individu lain masih berjalan.

Tiada seorang pun daripada enam individu itu berada di Singapura sejak siasatan bermula.

MHA menegaskan bahawa Singapura komited untuk mempertahankan reputasinya sebagai hab perniagaan yang dipercayai dan boleh diandalkan.

“Kami tidak akan membenarkan syarikat atau individu menyalahgunakan persekitaran perniagaan Singapura untuk melakukan penipuan atau amalan tidak jujur,” menurut kenyataan itu.

Megaspeed kembali menjadi perhatian pada penghujung Oktober selepas laporan mendedahkan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang memantau rapat Cik Huang, atas syak beliau membantu China mengelak kawalan eksport Amerika terhadap cip kecerdasan buatan (AI) termaju.

Cik Huang merupakan pengarah dan pengarah urusan Megaspeed dari Mac hingga November 2023.

Beliau juga dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan CEO Nvidia, Encik Jensen Huang.

Pada 8 November, syarikat gergasi cip itu menyatakan bahawa ia sedang menyiasat sama ada ketuanya menjadi sasaran usaha perisikan asing.

Menurut MHA, selepas pihak berkuasa memulakan siasatan bebas pada Februari 2025, Biro Industri dan Keselamatan Amerika Syarikat (BIS) menjalankan pemeriksaan pengesahan selepas penghantaran di Megaspeed pada 24 Jun 2025, dengan kehadiran Cik Huang.

“Pemeriksaan itu merupakan kali pertama Singapura mengetahui tentang minat Amerika terhadap Megaspeed dan Cik Huang,” menurut kementerian itu.

MHA menambah bahawa polis turut menemu bual Cik Huang pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan terhadap Megaspeed.

Pasport beliau sebelum itu telah ditahan bagi memastikan kehadirannya untuk tujuan siasatan yang sedang dijalankan, memandangkan beliau tidak berpangkalan di Singapura.