MHPA: Warga SG digalak kurangkan kegiatan sosial, patuhi langkah selamat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MHPA: Warga SG digalak kurangkan kegiatan sosial, patuhi langkah selamat

Sep 21, 2021 | 5:30 AM

MHPA: Warga SG digalak kurangkan kegiatan sosial, patuhi langkah selamat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
KURANGKAN INTERAKSI SOSIAL: Orang ramai perlu memainkan peranan mereka untuk mengurangkan interaksi sosial, kata pakar, sedang bilangan kes harian Covid-19 melonjak dan kembali menjangkau lebih 1,000 baru-baru ini. - Foto BH oleh MARK CHEONG
KURANGKAN INTERAKSI SOSIAL: Orang ramai perlu memainkan peranan mereka untuk mengurangkan interaksi sosial, kata pakar, sedang bilangan kes harian Covid-19 melonjak dan kembali menjangkau lebih 1,000 baru-baru ini. - Foto BH oleh MARK CHEONG -

DENGAN bilangan kes harian Covid-19 telah kembali menjangkau lebih 1,000, warga Singapura digalakkan untuk terus mematuhi langkah pengurusan selamat dan mengurangkan kegiatan sosial seberapa boleh.

Ini sedang pakar berkata Singapura perlu mengharungi gelombang jangkitan ini untuk terus meningkatkan daya tahannya dalam usaha untuk hidup bersama virus tersebut.

Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) akur dengan kenyataan Menteri Kesihatan Ong Ye Kung sebelum ini bahawa beberapa minggu ini kritikal sedang pihak berkuasa memantau dengan rapat bilangan individu yang sakit teruk atau terkorban akibat Covid-19.

Penduduk di Singapura pula dinasihatkan untuk terus berwaspada di tahap ini, meskipun Singapura buat masa ini tidak mengambil langkah sekatan seperti dalam Pemutus Litar dahulu.

"Dalam fasa pandemik ini khususnya dengan kenaikan kes, adalah penting bagi kita untuk kekal menggunakan pelitup, mematuhi langkah pengurusan selamat, dan teruskan dengan amalan kebersihan tangan.

"Bagi warga emas, tolong duduk di rumah kecuali anda perlu keluar untuk mendapatkan barangan penting seperti barangan dapur dan makanan," kata MHPA.

Mereka juga menggalakkan warga emas untuk mendapatkan suntikan penggalak apabila diminta berbuat demikian bagi mengekalkan perlindungan yang tinggi terhadap virus itu.

Pakar jantung, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, berkata gelombang yang dilihat sekarang bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan.

"Tidak menghairankan dalam keadaan padat di Singapura, kes boleh melonjak dalam masa yang singkat.

"Apa yang kami telah lakukan dengan baik adalah mempersiapkan diri lebih baik daripada negara lain menerusi langkah yang diambil sebelum ini. Kami telah memvaksin lebih ramai orang, dan mempersiap sistem penjagaan kesihatan untuk menjadi lebih berdaya tahan bagi mengatasi lebih banyak jangkitan Covid-19," ujar Dr Razakjr.

Pihak berkuasa juga kini memantau dengan teliti jika kapasiti di hospital dapat mengatasi gelombang jangkitan terbaru ini.

Kelmarin, Encik Ong berkata sedang kapasiti keseluruhan unit jagaan rapi (ICU) di Singapura masih dapat bertahan, sistem jagaan kesihatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) di sini, serta wad hospital biasa, "sedang menghadapi tekanan".

Ini setelah beberapa hospital awam kini melihat bilangan melonjak pesakit di A&E yang mempunyai simptom ringan jangkitan pernafasan.

Oleh itu, pesakit Covid-19 lebih muda yang telah menerima vaksin sepenuhnya digalakkan menjalani pemulihan di rumah, kata Encik Ong yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Covid-19.

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata satu kategori baru kemudahan penjagaan masyarakat (CCF) akan ditubuhkan bagi pesakit Covid-19 yang umumnya dalam keadaan stabil, tetapi mempunyai penyakit kesihatan lain yang perlu dipantau.

Seorang lagi pengerusi bersama MTF, Menteri Kewangan Lawrence Wong, kelmarin pula berkata Singapura tidak mampu untuk mengambil ringan kerana kes di ICU boleh melonjak pantas.

Bilangan yang memerlukan jagaan rapi mungkin naik jika lebih ramai warga emas atau individu tidak divaksin dijangkiti, sedang mereka lebih cenderung untuk menghidapi penyakit teruk.

Justeru, orang ramai masih perlu memainkan peranan mereka untuk mengurangkan interaksi sosial, kata Dr Razakjr.

"Sepanjang 20 bulan lalu sejak pandemik Covid-19 bermula, rakyat kita telah menunjukkan daya tahan yang tinggi, serta sokongan dan kerjasama.

"Apa yang jelas juga kita semua ingin hidup seberapa biasa boleh dalam pandemik ini yang masih berkekalan hingga sekarang.

"Saya percaya kita akan masih dapat bertahan dan maju. Kita telah lakukannya dahulu dan kita akan tunjukkan kita boleh lakukannya lagi," ujar Dr Razakjr.

"Dalam fasa pandemik ini khususnya dengan kenaikan kes, adalah penting bagi kita untuk kekal menggunakan pelitup, memelihara langkah pengurusan selamat, dan teruskan dengan amalan kebersihan tangan. Bagi warga emas, tolong duduk di rumah kecuali anda perlu keluar untuk mendapatkan barangan penting seperti barangan dapur dan makanan." - Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg