Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MIJ Hub didik pelajar keperluan khas beribadah

Mar 17, 2025 | 5:30 AM
Penyelia Pusat bagi program pendidikan tarbiah (T:Ed) My Inspiring Journey atau singkatannya MIJ Hub, Ustazah Nur Fathah Loakman, menggunakan penggunaan visual, gerak isyarat dan permainan interaktif bagi membantu pelajar memahami konsep keagamaan.
Penyelia Pusat bagi program pendidikan tarbiah (T:Ed) My Inspiring Journey atau singkatannya MIJ Hub, Ustazah Nur Fathah Loakman, menggunakan penggunaan visual, gerak isyarat dan permainan interaktif bagi membantu pelajar memahami konsep keagamaan. - Foto MIJ HUB

Berbeza dengan kelas agama konvensional, susunan meja dan kerusi di pusat pendidikan khas, My Inspiring Journey atau singkatannya, MIJ Hub juga memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pelajar berkeperluan khas.

Tiada meja besar atau susunan tempat duduk yang sesak seperti di sekolah biasa.

Sebaliknya, setiap sesi pembelajaran melibatkan tiga pelajar yang duduk di atas kerusi tablet (kerusi yang turut ada permukaan untuk menulis), dalam separuh bulatan bersama seorang guru.

MIJ Hub menyokong pelajar kurang upaya intelek dan memberi tumpuan kepada mewujudkan ruang mesra deria dalam persekitaran pembelajarannya.

Ruang tersebut disepadukan ke dalam kelas agama bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam suasana tenang yang memenuhi keperluan deria mereka.

Tanpa bergantung pada buku teks dan latihan menulis, pendidikan madrasah di MIJ Hub lebih tertumpu kepada penggunaan visual, gerak isyarat dan permainan interaktif dalam membantu pelajar memahami konsep keagamaan seperti Ramadan, solat tarawih dan melakukan ibadah harian, kongsi penyelia pusat bagi program pendidikan tarbiah (T:Ed) MIJ Hub, Ustazah Nur Fathah Loakman.

“Dalam sekolah madrasah biasa atau aliran utama, pelajar diajar mengikut subjek seperti sirah, fiqah dan tauhid.

“Tetapi di sini, kami memberi tumpuan kepada akhlak dan kemahiran hidup seharian.

“Kami mengajar mereka doa mudah seperti doa masuk dan keluar tandas, cara masuk tandas dengan kaki kiri dan keluar dengan kanan,” kata Ustazah Fathah, 31 tahun.

Namun begitu, peluang untuk kanak-kanak berkeperluan khas beribadah di tempat awam masih berkurangan.

Ustazah Nur Fathah berkongsi dengan Berita Harian (BH) bahawa beberapa ibu bapa menghadapi cabaran ketika membawa anak-anak mereka ke masjid untuk solat tarawih. 

“Ada pelajar yang sensitif kepada bunyi, tekstur atau air dan ada pula yang senang berasa resah gelisah.

“Mereka perlu mengambil masa untuk mengatasi ketakutan bunyi bising dari sekelilingnya serta kejadian ‘meltdown’ (keadaan seseorang hilang kawalan ke atas kelakuannya dan mengamuk).

“Disebabkan itu, majoriti ibu bapa tidak dapat membawa anak mereka tarawih di masjid dan menunaikan ibadah itu di rumah sahaja,” kata Ustazah Nur Fathah.

Bagaimanapun, usaha untuk memberi pengalaman ibadah yang lebih menyeluruh dipergiat.

Buat kali pertama, pelajar MIJ Hub akan menyertai sesi solat tarawih di Masjid An-Nahdhah di Bishan, pada 22 Mac.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman ibadah bersama anggota jemaah yang lain dalam ruang yang lebih luas dan suasana yang menyokong,” ujar Ustazah Nur Fathah yang sudah mengajar dalam bidang ini selama lapan tahun.

Pertubuhan itu turut bekerjasama dengan Masjid Wak Tanjong untuk membolehkan pelajar mereka menyumbang secara bermakna kepada masyarakat melalui kegiatan membersihkan masjid serta membungkus bubur dan kurma, di samping mempelajari nilai memberi dan berkhidmat sepanjang Ramadan.

Meskipun terdapat aturan bagi perkhidmatan jagaan kanak-kanak semasa solat berlangsung, MIJ Hub menyaran ruang istimewa dalam dewan solat bagi ibu bapa yang ingin beribadah bersama anak-anak istimewa mereka.

Selain itu, masjid boleh menempatkan satu bahagian mesra keluarga dalam kawasan iktikaf yang mengalu-alukan keluarga untuk solat bersama-sama dengan anak-anak mereka, termasuk yang berkeperluan khas.

Ruang ini boleh direka sebagai kawasan yang menenangkan, dengan ciri-ciri mesra deria untuk menampung kanak-kanak yang mungkin memerlukan sokongan tambahan dalam mengatur emosi atau tingkah laku mereka semasa solat.

“MIJ Hub menyokong sepenuhnya inisiatif inklusif ini dan kami mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana masjid yang berminat untuk mencipta ruang agama yang inklusif seperti ini,” kata jurucakap pertubuhan itu kepada BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg