ORANG ramai perlu membayar sekurang-kurangnya lima sen bagi setiap beg pakai buang yang mereka ambil bagi pembelian di kebanyakan pasar raya di sini mulai pertengahan tahun depan.
Mengumumkan demikian semasa perbahasan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), Menteri MSE Cik Grace Fu berkata ini akan dikenakan bagi semua jenis beg pakai buang.
"Langkah mengenakan bayaran bagi setiap beg adalah adil dan berkesan.
"Lebih banyak beg yang kita ambil, lebih banyak yang perlu kita bayar dan langkah mengenakan bayaran daripada beg yang pertama juga akan menggalak orang ramai membawa beg mereka sendiri," ujarnya.
Sebagai permulaan, bayaran bagi beg pakai buang itu akan dikenakan di pasar raya berlesen di bawah Agensi Makanan Singapura (SFA) dengan kadar pusing ganti lebih $100 juta.
Ini akan menjejas dua pertiga cawangan pasar raya di Singapura seperti NTUC FairPrice, Sheng Siong, Prime, Cold Storage dan Giant.
Namun, Cik Fu berkata langkah itu tidak bertujuan mengenakan larangan pada beg pakai buang dan tidak bermakna orang ramai tidak boleh mendapatkan beg pakai buang lagi.
Sebaliknya, ia bertujuan menggalak orang awam bersikap lebih bijak menggunakan barang pakai buang.
Tambahnya, pengendali pasar raya juga perlu menerbitkan maklumat jumlah beg yang mereka berikan, jumlah dana yang dikumpul hasil bayaran yang dikenakan itu serta bagaimana dana itu digunakan untuk memastikan kebertanggungjawapan.
"Kami amat menggalak pengendali pasar raya menyalurkan hasil yang diperoleh daripada bayaran yang dikenakan bagi beg pakai buang itu kepada tujuan alam sekitar atau sosial, selain mempertimbang inisiatif untuk membantu keluarga berpendapatan rendah," ujarnya.
Bayaran minimum baru bagi beg pakai buang itu adalah hasil perundingan meluas yang dijalankan dengan industri dan orang awam selama lebih setahun, dengan kumpulan kerja dibentuk untuk menghasilkan garis panduan dan maklum balas didapatkan berhubung garis panduan yang disarankan itu.
Hampir 6,000 pihak berkepentingan terlibat dalam perundingan itu termasuk menerusi perbincangan kumpulan fokus, sesi perundingan awam dan industri serta tinjauan.
Cik Fu berkata bayaran minimum yang ditetapkan itu adalah rendah untuk mengurangkan kesan kos pada orang ramai, termasuk keluarga berpendapatan rendah.
Antara tinjauan utama yang dijalankan dalam proses ini mendapati bahawa sebahagian besar warga Singapura menerima bayaran dikenakan bagi beg pakai buang.
Dalam tinjauan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melibatkan sekitar 1,000 responden pada September tahun lalu, lebih 80 peratus orang bersetuju bahawa penggunaan beg pakai buang secara berlebihan mempunyai kesan negatif pada alam sekitar.
Hampir 90 peratus orang pula bersetuju bahawa mereka mempunyai peranan dalam usaha mengurangkan penggunaan beg pakai buang.
Lebih 70 peratus orang pula bersetuju bahawa bayaran mandatori boleh mengurangkan penggunaan beg pakai buang.
"Lama kelamaan, kami berharap bayaran ini akan menggalak warga Singapura mengamalkan tabiat yang berdaya tahan dan membawa beg kita sendiri semasa membeli-belah di pasar raya dan kedai lain," ujar Cik Fu.
SEKILAS PERUBAHAN
1) KE ARAH NEGARA TANPA SISA
Sekurang-kurangnya lima sen dikenakan bagi setiap beg pakai buang yang diambil dengan pembelian di kebanyakan pasar raya mulai pertengahan tahun depan
2) PERKUKUH DAYA TAHAN BEKALAN MAKANAN
- Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan (ACT) dipertingkat untuk tawar jumlah pembiayaan bersama lebih tinggi bagi lebih pelbagai jenis makanan seperti sayur-sayuran, buah, cendawan dan udang
- Tender darat dan laut baru akan dilancar dengan tempoh pajakan 20+10 tahun secara progresif mulai hujung tahun ini
- Lesen Pendudukan Sementara (TOL) akan diperkenal bagi ladang di laut yang ada sekarang
- Kebanyakan penternak di laut akan nikmati yuran lesen tahunan lebih rendah selepas semakan SFA
3) PERTINGKAT DAYA TAHAN KAWASAN PANTAI
Kajian JTC dan PUB tentang bagaimana Pulau Jurong dan pantai barat laut Singapura boleh dilindungi dengan lebih baik daripada peningkatan paras laut, bermula tahun ini
4) PERKUKUH PERTAHANAN KESIHATAN AWAM
Orang ramai dilarang merokok di taman kendalian NParks, tapak Air Aktif, lndah, Bersih (Air ABC) dan 10 pantai riadah
5) LINDUNGI BUDAYA PENJAJA
Pusat penjaja baru akan dibina di Bandar Tampines
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg