Kumpulan penjagaan kesihatan, Minmed Group, melaporkan satu insiden keselamatan siber berniat jahat yang menjejas sistem bagi menyokong perkhidmatan telekonsultasi dan saringan kesihatannya.

Dalam satu kenyataan media pada 11 November, Minmed berkata siasatan terhadap insiden itu masih dijalankan dan pihaknya belum dapat memberikan butiran lanjut.

“Berdasarkan siasatan kami setakat ini, insiden tersebut nampaknya terhad kepada satu sistem kendiri khusus yang menyokong perniagaan telekonsultasi dan saringan kesihatan kami.

“Rekod klinikal tidak terjejas oleh insiden ini,” tambahnya.

Sebaik sahaja ancaman keselamatan itu dikesan, Minmed berkata ia segera mengambil langkah untuk membendung insiden berkenaan.

Kumpulan itu turut mendapatkan khidmat Ensign InfoSecurity Singapore, sebuah firma bebas yang pakar dalam keselamatan siber dan forensik, bagi membantu menjalankan siasatan rasmi serta memperkukuh sistem keselamatannya.

Minmed berkata Ensign InfoSecurity telah mengesahkan secara bebas pada 5 November bahawa langkah pembaikan keselamatan yang dilaksanakan berjaya menangani kelemahan yang dikenal pasti dalam sistemnya.

Kumpulan itu juga telah melaporkan insiden berkenaan kepada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan membuat laporan polis.

Ditubuhkan di Singapura pada 2001, Minmed Group mengendalikan klinik-klinik di seluruh Singapura, termasuk di Paragon (Orchard Road), United Square (Novena), AMK Hub (Ang Mo Kio), dan JEM (Jurong East).

Menurut laman web kumpulan tersebut, perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi saringan kesihatan, telekonsultasi, vaksinasi, dan kaunseling, di samping klinik am serta klinik pergigian.

Dalam kenyataanya, Minmed berkata: “Semua perkhidmatan penjagaan kesihatan dan klinik kami terus beroperasi, dan kami komited untuk menyokong pelanggan serta pihak berkepentingan kami.

“Kami menghargai kepercayaan yang diberikan kepada kami, terutamanya berkaitan dengan pengendalian maklumat peribadi dan maklumat yang berkaitan dengan kesihatan.

“Melindungi kepercayaan tersebut kekal menjadi keutamaan kami, dan kami memohon maaf dengan ikhlas atas sebarang kebimbangan yang mungkin timbul akibat insiden ini.”

Pelanggan yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Minmed menerusi e-mel support@minmed.sg.