KEMENTERIAN Pembangunan Negara (MND) sedang mengkaji cara untuk menyediakan lebih banyak pilihan bagi kemudahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) untuk memenuhi pelbagai keperluan dan bajet pelawat.
Sedang ia berbuat demikian, MND akan memastikan keselamatan pelawat, kakitangan operasi, dan masyarakat umum tidak akan terjejas, kata Menteri Negara Pembangunan Negara Tan Kiat How semalam.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Cik Foo Mee Har (GRC West Coast), yang bertanya adakah pemerintah akan mempertimbangkan harga yang berbeza bagi kemudahan SHN agar pengunjung boleh memilih penginapan yang sesuai dengan kemampuan dan taraf keselesaan yang diinginkan.
Encik Tan berkata, untuk mengurangkan kerumitan operasi, pelawat diperuntuk kemudahan tertentu apabila mereka tiba di pusat pemeriksaan, kata Encik Tan.
Struktur kosnya hampir serupa bagi kesemua kemudahan tersebut, dan oleh itu, bayaran standard dikenakan.
Pada masa yang sama, pemerintah akur bahawa pelawat tertentu mungkin memiliki keperluan tertentu dan akan mempertimbangkan rayuan setiap kes, berdasarkan keadaan kewangan atau keadaan peribadi, tambahnya.
"Sebagai contoh, mereka yang memerlukan kemudahan yang mesra warga emas atau mesra kurang upaya, atau mereka yang bersama kanak-kanak mungkin memerlukan pengaturan bilik tertentu," kata Encik Tan.
Beliau juga akur bahawa pelancong ingin mempunyai lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dalam menjalani SHN mereka.
Cik Foo berkata beliau menerima maklum balas daripada banyak keluarga, terutama yang membawa masuk pembantu rumah asing, yang perlu membayar kos yang tinggi bagi kemudahan SHN yang wajib itu.
Kos ujian untuk pembantu rumah asing kini ditanggung oleh majikan, sementara kos SHN boleh dibahagikan antara agensi pekerjaan dan majikan, bergantung pada pengaturan masing-masing.
Encik Tan berkata sudah ada pelbagai tahap kemudahan SHN bagi pelbagai golongan pelawat, seperti pembantu rumah asing atau pekerja dalam industri pembinaan atau laut.
Bagaimanapun, beliau mengiktiraf keprihatinan Cik Foo, dan berkata pemerintah akan mempertimbangkan kes demi kes.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg