Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE akan semak pelaksanaan kegiatan paras tinggi oleh sekolah

Feb 25, 2021 | 5:30 AM
Menteri Lawrence Wong.
Menteri Lawrence Wong. -

KEMENTERIAN Pendidikan (MOE) akan menjalankan semakannya sendiri terhadap pelaksanaan kegiatan luar darjah melibatkan elemen paras tinggi berikutan kematian seorang pelajar sewaktu melakukan kegiatan itu di Safra Yishun minggu lalu.

Hasil serta cadangan yang didapati dari semakan tersebut akan dikongsikan setelah ia selesai, dan sementara itu, kegiatan paras tinggi sekolah akan terus digantung, kata Menteri Pendidikan Lawrence Wong.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut tentang kejadian yang mengakibatkan kematian pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACS(I)), Jethro Puah, kerana "polis masih menjalankan siasatan".

Encik Wong berkata demikian di Parlimen semalam semasa menjawab pertanyaan Encik Vikram Nair (GRC Sembawang) mengenai hasil siasatan insiden tersebut dan sama ada terdapat perkara yang boleh dipelajari untuk mengurangkan risiko kejadian serupa berlaku lagi.

"Bagi pihak MOE, izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan takziah kepada ibu bapa, ahli keluarga dan mereka yang menyayangi Jethro.

"Jethro dan kelasnya terlibat dalam kegiatan di kemudahan pengembaraan di Safra (Yishun), yang dikendalikan oleh Camelot Pte Ltd.

"Ini merupakan kegiatan tahunan yang telah dilaksanakan oleh sekolah untuk para pelajarnya sejak 2017," kata Encik Wong.

Kegiatan sedemikian kadangkala dianjurkan semasa perkhemahan sekolah bagi memupuk keyakinan diri pelajar.

Peserta kegiatan itu akan ditugaskan mengatasi cabaran menerusi pelbagai hambatan semasa berada di kemudahan paras tinggi dan mereka mesti memakai alat keselamatan seperti topi keledar, abah-abah serta tali keselamatan.

Pelajar itu tergelincir semasa melakukan kegiatan tersebut dan beliau "tergantung dari tali pengikat keselamatannya" di udara.

Dia tidak sedarkan diri semasa diturunkan dan tidak memberi respons apabila polis tiba di tempat kejadian.

Paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) cuba menyedarkan semula pelajar tersebut di tempat kejadian dan menggunakan AED (defibrilator luaran automatik) sebelum dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).

Dia meninggal dunia pada keesokan harinya.

Siasatan awal menunjukkan tiada perbuatan khianat dikesan

Menyusuli kejadian itu, MOE telah menggantung semua kegiatan luar yang melibatkan ketinggian di semua sekolah.

Beberapa pengendali perkhemahan dan kegiatan luar telah menandatangani memorandum persefahaman agar kamera badan digunakan dalam kegiatan luar yang melibatkan elemen paras tinggi.

Sementara itu, sekolah yang telah membuat perancangan menganjurkan perkhemahan untuk pelajar mereka juga telah membuat beberapa perubahan terhadap kegiatan yang akan dilakukan.

"Bagi pihak MOE, izinkan saya terlebih dahulu mengucapkan takziah kepada ibu bapa, ahli keluarga dan mereka yang menyayangi Jethro." - Menteri Lawrence Wong merujuk kepada pelajar Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) (ACS(I)), Jethro Puah, yang mati dalam satu insiden semasa kegiatan pada paras tinggi di Safra Yishun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg