Anugerah Edusave yang diberikan kepada pelajar sebagai motivasi untuk cemerlang, akan diluaskan untuk mengiktirafkan golongan pelajar yang telah menyumbang kepada sekolah dan masyarakat, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada Isnin.
Anugerah yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) kepada pelajar itu lazimnya berdasarkan kecemerlangan akademik, kata beliau. Dengan masa, ia berkembang meliput aspek selain akademik seperti kegiatan kokurikular.
Berucap semasa perbincangan panel mengenai meritokrasi di persidangan ulang tahun ke-35 Institut Pengajian Dasar (IPS), Encik Chan berkata: “Saya ingin melihat Singapura berkembang menjadi sebuah masyarakat di mana kita boleh mencari kejayaan bukan sahaja dengan pencapaian kita sendiri, bahkan sumbangan kita.
“Tidak kira peringkat manapun seseorang dalam kehidupan, sama ada kita kaya atau miskin, sama ada kita cenderung dalam bidang akademik atau sebaliknya, kita semua boleh membuat sumbangan. Dan sumbangan anda mesti setimpal dengan kebolehan anda.”
Menjawap keprihatinan mengenai pengukuhan rangkaian alumni, Encik Chan merujuk kepada rancangan menyatukan sekolah-sekolah kelompok, untuk menggalakkan alumni menyumbang melebihi masyarakat mereka sendiri.
“Saya telah merayu kepada beberapa alumni daripada sekolah cemerlang untuk berkhidmat dalam lembaga penasihat sekolah di luar sekolah mereka sendiri – bukan hanya untuk memberi mereka idea, (malah) membantu mereka mendapatkan peluang.
“Daripada sekolah-sekolah yang bersaing antara satu sama lain, kita akan pasangkan dengan sekolah-sekolah atau kelompok sekolah-sekolah yang bekerjasama dalam CCA yang berbeza, supaya mereka boleh membina rangkaian sosial dan berkongsi modal sosial,” tambah beliau.
Encik Chan berkata demikian mengenai keperluan mentakrifkan semula kejayaan dan meritokrasi, dalam konteks cabaran baru bagi Singapura dan kebimbangan tentang perbezaan yang semakin meningkat dalam masyarakat.
“Kejayaan di Singapura mestilah seperti satu sukan berpasukan. Ia bukan hanya mengenai setiap individu berlumba sendiri,” katanya.
Sebaliknya, tambah beliau, meritokrasi mesti mengenai sumbangan kolektif daripada anggota masyarakat yang berbeza kepada kebolehan mereka yang terbaik di luar pencapaian peribadi.
Dalam ucapan di acara yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands itu, Encik Chan menambah: “Meritokrasi telah membantu Singapura berjaya dalam 50 tahun yang lalu, tetapi jika kita tidak terus mengukuhkan sistem dan mengelakkan kesulitan, ia mungkin tidak akan terus berjaya bagi 50 tahun akan datang.
“Walaupun meritokrasi mempunyai kekurangan seperti sistem-sistem lain... Tidak bermakna kita berputus asa.”
Persoalan sekarang ialah bagaimana meritokrasi boleh membantu Singapura menjadi lebih relevan, berdaya saing dan bersepadu pada masa hadapan, kata Encik Chan, dengan menarik orang dan idea yang terbaik, bakat yang pelbagai dan menghormati serta memberi ganjaran kepada kebolehan yang berbeza.
“Yang penting, meritokrasi mesti digabungkan dengan nilai-nilai yang betul – rasa terima kasih atas apa yang kita terima dan belas kasihan terhadap mereka yang tidak mempunyai kelebihan ini dalam kehidupan dan rasa tanggungjawab bersama untuk kita maju bersama-sama,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg