Kementerian Pendidikan (MOE) akan meneroka kelas yang lebih kecil sebagai sebahagian daripada projek rintis untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran, bermula dengan enam sekolah rendah dan menengah menjelang Januari 2027.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata kelas yang lebih kecil membolehkan guru memberikan perhatian yang lebih khusus serta menyampaikan maklum balas yang lebih cepat kepada pelajar.

Ini merupakan sebahagian daripada penyusunan semula pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh, termasuk mengkaji semula tugas guru, di samping menggunakan teknologi untuk menyokong kerja guru.

Bercakap kepada sekitar 1,900 pemimpin sekolah dan guru di Seminar Pelan Kerja Sekolah (WPS) yang diadakan di Singapore Expo pada 16 September, Encik Lee berkata:

“Kami akan meneroka sama ada lebih ramai pelajar meraih manfaat melalui kelas yang lebih kecil, memperkukuhkan pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar, di samping memberi perhatian lebih khusus serta menyampaikan maklum balas yang lebih cepat kepada pelajar.

“Pada masa yang sama, kita harus bersikap terbuka tentang implikasinya terhadap guru-guru kita.

“Kelas yang lebih kecil tidak bermakna beban kerja berkurangan secara automatik.

“Kelas yang lebih kecil mungkin bermakna guru perlu mengambil lebih banyak waktu mengajar, seperti yang diamalkan di beberapa negara lain.”

Keenam-enam sekolah itu terdiri daripada tiga sekolah rendah – St Anthony Canossian, Woodgrove dan Zhangde – dan tiga sekolah menengah, iaitu Commonwealth, Deyi dan Jurongville.

Encik Lee turut mengakui bahawa pemerintah tidak boleh menjadikan pengambilan lebih ramai guru sebagai satu-satunya strategi.

Ini kerana tenaga kerja adalah terhad, ujar Encik Lee, sambil menambah sekiranya lebih ramai guru perlu digaji sekalipun, ia mesti dilakukan secara mampan tanpa menjejaskan kualiti.

Beliau berkata kelas Darjah 1 dan Darjah 2 kekal sebesar 30 murid sejak 2006 untuk “memberikan perhatian yang lebih khusus kepada kanak-kanak sewaktu mereka beralih dari prasekolah ke sekolah rendah”.

Di bawah Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (Full SBB), kelas bagi subjek di peringkat menengah juga adalah berbeza mengikut keperluan pembelajaran pelajar dan sifat subjek berkenaan, kata Encik Lee.

Misalnya, di Sekolah Menengah Deyi, kelas yang lebih kecil boleh merangkumi sehingga 20 pelajar bagi subjek seperti Rekaan dan Teknologi (D&T) serta Makanan dan Pendidikan Pengguna (FCE).

Selain itu, Pengetua Sekolah Menengah Deyi, Encik Chow Weisi, menjelaskan jumlah murid dalam kelas bagi subjek aliran G1 atau Normal (Teknikal) di sekolahnya adalah sekecil belasan pelajar, manakala jumlah murid dalam kelas bagi subjek aliran G3 atau Ekspres, boleh mencecah sekitar 30 hingga 40 pelajar.

Ketika ditanya jika kelas yang kecil dapat membantu, Encik Chow berkata:

“Jawapannya ya.

“Namun, kami juga sedar sebagai sekolah perintis, kami perlu melaksanakan langkah-langkah yang boleh diperluas penggunaannya dan mampan dalam jangka panjang.”

Justeru Encik Chow berkata teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan oleh para guru, untuk melengkapkan kaedah pengajaran mereka di dalam bilik darjah.

Sekolah Menengah Deyi mempunyai 1,100 pelajar dan 80 guru.