Kementerian Pendidikan (MOE) akan meneroka saiz kelas yang lebih kecil sebagai sebahagian daripada projek rintis untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran, bermula dengan enam sekolah menjelang Januari 2027.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata bahawa kelas yang lebih kecil dapat membolehkan guru memberikan perhatian yang lebih khusus dan maklum balas yang lebih tepat pada waktunya kepada murid.

Ini merupakan sebahagian daripada penyusunan semula pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh, termasuk mengkaji semula tugas guru, di samping menggunakan teknologi untuk menyokong kerja guru.

Bercakap kepada sekitar 1,900 pemimpin sekolah dan guru di Seminar Pelan Kerja Sekolah (WPS) yang diadakan di Singapore Expo pada 16 September, Encik Lee berkata:

“Kami akan meneroka sama ada lebih ramai pelajar boleh mendapat manfaat, terutamanya di mana kelas yang lebih kecil dapat membolehkan pendekatan pengajaran berpusatkan murid yang lebih kukuh, dengan memberi perhatian yang lebih khusus kepada murid dan maklum balas yang lebih tepat pada waktunya.

“Pada masa yang sama, kita harus bersikap terbuka tentang implikasi perkara ini terhadap guru-guru kita.

“Kelas yang lebih kecil tidak bermakna beban kerja berkurangan secara automatik.

“Kelas yang lebih kecil mungkin bermakna guru perlu mengambil lebih banyak waktu mengajar, seperti yang diamalkan di beberapa negara lain.”

Keenam sekolah itu merupakan tiga sekolah rendah – Sekolah St Anthony’s Canossian, Woodgrove dan Zhangde – dan tiga sekolah menengah iaitu Commonwealth, Deyi dan Jurongville.

Encik Lee turut akur bahawa pemerintah tidak boleh mengambil strategi untuk semata-mata menggajikan lebih ramai guru sahaja.

Ini kerana tenaga kerja adalah terhad, ujar Encik Lee, sambil menambah sekiranya lebih ramai guru perlu digaji sekalipun, ia mesti dilakukan secara mampan tanpa menjejaskan kualiti.

Beliau berkata saiz kelas Darjah 1 dan Darjah 2 telah kekal sebesar 30 murid sejak 2006 untuk “memberikan perhatian yang lebih khusus kepada kanak-kanak sewaktu mereka beralih dari prasekolah ke sekolah rendah”.

Di bawah Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB), saiz kelas bagi subjek di peringkat menengah juga adalah berbeza mengikut keperluan pembelajaran murid dan sifat subjek berkenaan kata Encik Lee.

Misalnya, di Sekolah Menengah Deyi, kelas yang lebih kecil boleh merangkumi sehingga 20 murid bagi subjek seperti rekaan dan teknologi (D&T) dan Makanan dan Pendidikan Pengguna (FCE).

Selain itu, Pengetua Sekolah Menengah Deyi, Encik Chow Weisi, menjelaskan saiz kelas bagi subjek aliran G1 atau Normal (Teknikal) di sekolahnya adalah sekecil belasan murid, manakala saiz kelas bagi subjek aliran G3 atau Ekspres, boleh mencecah sekitar 30 hingga 40 murid.

Ketika ditanya jika saiz kelas yang kecil dapat membantu, Encik Chow berkata:

“Jawapannya ya. Namun, kami juga sedar bahawa sebagai sekolah perintis, kami perlu melaksanakan langkah-langkah yang boleh diperluas skalanya – iaitu yang boleh ditingkatkan dan mampan.”

Justeru Encik Chow berkata teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan oleh para guru, untuk melengkapkan kaedah pengajaran mereka di dalam bilik darjah.

Sekolah Menengah Deyi mempunyai kohort sebesar 1100 pelajar dengan 80 guru.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti