MOE tingkat peruntukan $556j bagi perkukuh penyelidikan dua bidang sains

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE tingkat peruntukan $556j bagi perkukuh penyelidikan dua bidang sains

Desmond: Penyelidikan dalam sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan bantu faham keadaan semasa, rangka hala tuju hadapi perubahan
Feb 26, 2026 | 4:55 PM

MOE tingkat peruntukan $556j bagi perkukuh penyelidikan dua bidang sains

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
MOE, Desmond Lee,  Menteri Pendidikan, Pesta Idea, SMU
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berucap semasa majlis pelancaran Pesta Idea Sains Kemasyarakatan dan Ilmu Kemanusiaan 2026, di Universiti Pengurusan Singapura (SMU). - Foto ST

Bidang sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan akan menerima sokongan dipertingkatkan, dengan Kementerian Pendidikan (MOE) memperuntuk $556 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi penyelidikan dalam bidang berkenaan.

Ini merupakan peningkatan sekitar 20 peratus daripada $457 juta yang diperuntuk dalam tempoh lima tahun sebelum ini bagi menyokong daya usaha utama yang dilancarkan Majlis Penyelidikan Sains Kemasyarakatan (SSRC).

SSRC ditubuhkan pada 2016 untuk merangka hala tuju bagi penyelidikan sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan selaras dengan perkembangan Singapura sebagai sebuah negara, termasuk dalam bidang penuaan dan mobiliti sosial.

Mengumumkan peningkatan peruntukan itu pada 26 Februari, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata:

“Kita hidup dalam era yang rumit dan penuh ketidakpastian, dan dalam menghadapi perubahan ini, penyelidikan dalam sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan dapat membantu kita memahami keadaan semasa, merangka hala tuju, mengenal pasti trend, mengelak risiko, serta merebut peluang.”

Antara manfaat penyelidikan dalam bidang berkenaan termasuk membantu dalam usaha membina daya tahan terhadap perubahan iklim; mengurangkan risiko dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk pekerjaan dan masyarakat; menyokong masyarakat kian menua; serta mengukuhkan kepercayaan antara masyarakat dalam dunia yang semakin tidak menentu, jelas Encik Lee.

Encik Lee menyampaikan kenyataan itu semasa pelancaran Pesta Idea Sains Kemasyarakatan dan Ilmu Kemanusiaan 2026, yang diadakan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Pesta berkenaan, yang berlangsung dari 26 Februari hingga 27 Mac, akan menampilkan lebih 100 penyelidik yang berkongsi pandangan mengenai tema seperti kesejahteraan minda dan penyesuaian kepada teknologi memuncul.

Selain menghasilkan penyelidikan akademik yang kukuh, pemerintah juga ingin menyokong penyelidikan gunaan yang mampu memberi kesan sebenar dan membantu mengatasi cabaran yang dihadapi negara, tambah Encik Lee.

“Bagi berbuat demikian, kita mesti melahirkan sendiri kumpulan penyelidik bertaraf dunia yang memahami konteks unik Singapura dan memanfaatkan penyelidikan untuk membawa perubahan,” katanya.

Menurutnya, penyelidikan sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan Singapura juga boleh membantu menangani cabaran sejagat.

Encik Lee berkata peruntukan $457 juta bagi penyelidikan sedemikian dari 2021 hingga 2025 telah menyokong hampir 80 projek penyelidikan dalam bidang seperti sains tingkah laku, ilmu kemanusiaan perubatan, dan kemampanan, serta melatih ramai penyelidik tempatan, termasuk sekitar 200 pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Beliau menyatakan kerja dalam bidang sains kemasyarakatan dan ilmu kemanusiaan telah menyumbang kepada usaha memperbaiki kehidupan di Singapura.

Sebagai contoh, penyelidikan Profesor Kerja Sosial, Profesor Irene Ng, daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), mengenai kemiskinan semasa bekerja yang dihadapi pekerja platform muda telah menjadi asas kepada perlindungan yang dipertingkatkan untuk pekerja platform, melalui Akta Pekerja Platform yang diluluskan pada September 2024.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Penuaan Berjaya (Rosa) SMU, yang diterajui Profesor Sosiologi, Profesor Paulin Straughan, telah menjalin kerjasama dengan agensi pemerintah untuk menggunakan pandangan penyelidikan bagi meningkatkan kesejahteraan warga emas di Singapura, katanya.

“Justeru itu, saya menggalakkan rakan daripada agensi pemerintah serta penyelidik kita supaya mencari serta mendalami kerjasama sebegini secara aktif bagi menangani cabaran yang dihadapi Singapura serta menyumbang kepada usaha sejagat,” tambah Encik Lee.

Sejak penubuhan SSRC pada 2016, badan itu telah menyalurkan pembiayaan kepada 54 projek penyelidikan di bawah Geran Bertema Penyelidikan Sains Kemasyarakatan, 21 penyelidik awal kerjaya, dan 48 projek Biasiswa Penyelidikan Siswazah.

Peruntukan baru itu, tambah Encik Lee, akan terus memperkukuh teras penyelidik Singapura melalui inisiatif seperti Biasiswa Penyelidikan Siswazah.

Dilancarkan pada 2021, biasiswa tersebut bertujuan menggalak penyelidik muda Singapura yang sedang menjalani latihan PhD atau poskedoktoran di luar negara untuk kembali dan menyertai institusi pendidikan tempatan.

“Dalam peruntukan baru ini, kami bercadang untuk melabur lebih banyak dalam inisiatif sedemikian bagi terus mengembangkan aliran bakat penyelidik Singapura yang cemerlang,” kata Encik Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg