SEBAGAI usaha membantu tenaga pengajar dan jurulatih luar yang terjejas dengan langkah penggantungan kegiatan luar darjah dan aktiviti campuran pelajar rentas sekolah, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Persatuan Jurulatih dan Pengajar Kebangsaan NTUC (Nica) hari ini mengumumkan langkah membantu meringankan bebanan kewangan yang mungkin dihadapi golongan tersebut.
Dalam kenyataannya hari ini, MOE berkata ia dan Nica telah berbincang dan mereka akan memberi pilihan kepada jurulatih, pilihan untuk menyusun semula kontrak mereka.
"Penangguhan aktiviti ini yang berpanjangan telah menjejas pendapatan tenaga pengajar yang dibayar berdasarkan perkhidmatan yang diberikan," kata MOE.
Tenaga pengajar yang memenuhi kriteria kelayakan dapat memanfaatkan skim ini.
Terdapat dua aspek untuk pilihan ini: (a) melanjutkan kontrak sedia ada sehingga setahun, tetapi tidak melebihi Disember 2021; (b) menerima pembayaran awal, dibayar lebih awal bagi kerja sebenar yang dilakukan dari sekarang hingga akhir 2021.
Ini menurut MOE akan memberikan sedikit pendapatan untuk tenaga pengajar pada tahun 2020 walaupun waktu perkhidmatan mereka lebih singkat, dengan jangkaan bahawa masa kerja akan dipenuhi pada 2021.
Langkah penggantungan yang dibuat bagi kokurikular adalah sebahagian daripada langkah berjaga-jaga MOE untuk Covid-19, Kegiatan Ko-kurikular (CCA) dan aktiviti yang melibatkan percampuran pelajar di seluruh sekolah telah ditangguhkan sejak Penggal Dua.
Untuk mengurangkan kesan Covid-19 dan tempoh pemutus rantaian jangkitan nasional ke atas pekerjaan dan perniagaan, pemerintah menerusi pembentangan tiga Belanjawan - Perpaduan, Daya Tahan dan Kesepakatan, telah memberikan bantuan melalui Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) dan Skim Pelepasan Pendapatan Orang Bekerja Sendiri (SIRS).
Dengan perubahan ini, MOE akan mendorong sekolah untuk mempertimbangkan kaedah pilihan untuk melibatkan tenaga pengajar pada tahun 2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg