KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) pada Isnin (27 April) mengesahkan lagi 14 penghuni Rumah Jagaan Acacia di Admiralty Street telah diuji positif virus Covid-19, sekali gus meningkatkan jumlah kes jangkitan berkaitan rumah jagaan itu kepada 15 orang.

MOH berkata, 12 penghuni dan dua kakitangan telah diuji positif pada Isnin itu termasuk seorang lagi penduduk lelaki berusia 62 tahun yang disahkan dijangkiti virus itu pada malam Sabtu (25 April). Kesemua 15 pesakit itu kini sedang dirawat di Hospital Khoo Teck Puat.

Dalam kenyataannya, MOH menambah ia telah memeriksa seramai 167 orang pada Ahad (26 April) termasuk 115 penduduk, 31 kakitangan dan 21 kontraktor yang menawarkan tugas penting selama empat minggu di rumah jagaan itu dan ia mendapati baki 153 orang diuji negatif.

Langkah jejak kontak sedang dilaksanakan dan semua kakitangan dan penduduk telah dikuarantin.

Penduduk rumah jagaan itu akan dikuarantin di kemudahan tersebut dan Perkhidmatan Sosial Sathya Sai akan mengerahkan kakitangan daripada kemudahannya yang lain untuk memastikan Rumah Jagaan Acacia itu dapat terus menjalankan operasinya seperti biasa.

Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman turut sudah dilaksanakan.