MOH: Dua kelompok Covid-19 ditutup
SATU kes jangkitan Covid-19 dalam masyarakat dilaporkan kelmarin, menjadikannya hari keempat dalam lapan hari lalu Singapura melaporkan satu atau tiada kes koronavirus setempat.
Kes setempat itu, yang tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini, merupakan antara lapan kes yang dilaporkan kelmarin.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di Singapura mencapai 62,692.
Tujuh kes lain diimport, dan telah diletakkan di bawah notis Jangan Keluar Rumah (SHN) apabila mereka tiba di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Salah satu kes itu dikesan apabila tiba di sini sementara baki enam kes mengalami jangkitan itu semasa menjalani SHN atau pengasingan.
Jumlah kes baru dalam masyarakat telah merosot kepada 17 dalam minggu lalu daripada 26 dalam minggu sebelumnya.
Sementara itu, jumlah kes dalam masyarakat yang tiada kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini telah meningkat kepada sembilan dalam minggu lalu daripada dua dalam minggu sebelumnya, kata MOH.
Kini terdapat 20 kelompok Covid-19 yang aktif, dengan tiga hingga 94 kes jangkitan setiap satu.
Dua kelompok telah ditutup kerana tidak ada kes baru yang dikaitkan dengannya selama 28 hari lalu, atau dua tempoh inkubasi virus, kata MOH.
Salah satu daripadanya melibatkan kes-kes yang dikaitkan dengan kapal tunda Marina Ariel, di mana seorang pekerja kru laut Indonesia berusia 38 tahun diuji positif pada 11 Jun.
Kelompok yang kedua pula melibatkan kes-kes dikaitkan dengan seorang rakyat Singapura berusia 68 tahun yang bekerja sebagai pekebun landskap di Amozonia Landscape dan disahkan mengalami Covid-19 pada 12 Jun.
Dalam jumlah 77 pesakit yang kini berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan baik dan diletakkan di bawah pemerhatian.
Terdapat dua individu yang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU) sementara enam individu memerlukan sokongan oksigen.
Sepanjang 28 hari lalu, 23 kes setempat yang memerlukan sokongan oksigen dimasukkan ke ICU atau telah meninggal dunia.
Dalam kalangan mereka, 19 tidak divaksin sementara empat telah menerima suntikan dos pertama mereka.
Singapura telah melaporkan 36 kematian akibat kerumitan Covid-19 sementara 15 individu lain yang diuji positif bagi Covid-19 telah meninggal dunia oleh sebab lain.

