PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, hari ini mengumumkan pengenalan papan pemuka interaktif versi ujian yang memaparkan jumlah pesakit Covid-19.
Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata ia adalah hasil kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).
"Kita boleh melihat keadaan keseluruhan, dan bila perlu, boleh meneliti perinciannya. Ini akan menjadikan orang awam lebih mengetahui, dan membantu kami menggunakan data itu untuk membuat keputusan yang lebih baik dan bertepatan," katanya.
Kerjasama antara MOH dan GovTech kata Encik Lee, adalah satu contoh baik bagaimana orang yang mempunyai kemahiran berbeza dapat bersama-sama menghasilkan sesuatu yang sangat diperlukan dalam masa krisis ini.
Kunjungan Berita Harian ke laman tersebut menunjukkan perangkaan terkini kes.
Singapura sejauh ini mencatatkan 13,624 kes koronavirus, di mana 12,552 merupakan kes aktif.
Seramai 22 orang dirawat di Unit Jagaan Rapi sementara 546 pula telah dibenarkan pulang.
Seramai 12 orang terkorban akibat Covid-19.
"Cubalah dan beritahu saya apa anda fikirkan!," ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg